PUTRAJAYA: Kesulitan dialami pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun ketika melakukan perjalanan ke luar negara, berpunca daripada sistem yang digunakan sesetengah syarikat penerbangan dan bukannya sistem kawalan imigresen negara asing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dari segi kawalan sempadan dan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), tempoh sah laku pasport melebihi 10 tahun tidak menimbulkan masalah.
“Syarikat berkenaan bukan sebuah negara, sebaliknya merupakan syarikat penerbangan. Sistem imigresen mana-mana negara juga tidak mempunyai masalah dari segi tempoh kerana pihak berkuasa akan memasukkan tempoh sah laku pasport itu sahaja.”
“Dari segi ICAO, piawaian penerbangan tidak ada isu tetapi syarikat penerbangan yang ada masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zakaria berkata isu berkenaan antaranya melibatkan sistem digunakan syarikat penerbangan, yang menetapkan tempoh maksimum pasport pada 10 tahun.
Sehubungan dengan itu, Zakaria berkata Malaysia akan membawa perkara berkenaan kepada ICAO untuk penyelarasan dengan syarikat penerbangan, namun tiada tempoh masa dapat ditetapkan bagi penyelesaiannya, kerana perkara itu di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Beliau menjelaskan JIM masih mengeluarkan PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun dan hanya menghentikan pemberian baki tempoh sah laku tambahan yang menyebabkan tempoh keseluruhan pasport melebihi 10 tahun.
Zakaria berkata sebelum ini, pemohon yang memperbaharui pasport lebih awal boleh menerima tambahan sehingga enam bulan daripada baki tempoh sah laku pasport lama, sekali gus menyebabkan pasport baharu mempunyai tempoh sah laku sehingga 10 tahun enam bulan.
“Selepas ini, pemegang pasport yang memperbaharui pasport lebih awal tidak akan mendapat tempoh tambahan lagi. Mereka hanya akan mendapat tempoh sah laku selama 10 tahun dan tempohnya akan terhad kepada 10 tahun sahaja,” katanya.
Zakaria berkata pemegang pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, boleh mendapatkan penggantian pasport baharu secara percuma.
Beliau berkata JIM juga akan mengeluarkan notis kepada semua syarikat penerbangan, bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di luar negara.
Mengenai jumlah pemegang PMA 10 tahun sejak ia diperkenalkan pada 1 Julai lepas, Zakaria berkata kira-kira 38,000 pasport telah dikeluarkan setakat ini, dengan 26,000 pasport melebihi 10 tahun. – Bernama





