KUALA LUMPUR: Situasi di Palestin yang semakin meruncing serta peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam membantu meredakan konflik di negara itu menjadi topik utama yang dibincangkan di Dewan Rakyat sepanjang minggu ini.
Persidangan minggu ini juga menyaksikan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh 25 kementerian dan tiga menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menutup sesi penggulungan sebelum Belanjawan 2024 diluluskan di peringkat dasar.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Mengenai situasi di Palestin, antara yang menjadi tumpuan adalah pendirian Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan dan mengutuk tindakan membunuh insan tidak berdosa serta menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan di Palestin.
Dalam ucapan kira-kira tujuh minit dalam bahasa Inggeris untuk khalayak antarabangsa dengan kebenaran Yang Dipertua dewan, Anwar turut mengutuk tindakan pengeboman terhadap orang awam, kediaman, hospital serta pembunuhan beramai-ramai insan tidak berdosa, kanak-kanak, wanita dan lelaki yang dilakukan oleh tentera Israel.
“… perbuatan jenayah ini jelas melanggar norma undang-undang antarabangsa. Tindakan Israel, pemotongan bekalan makanan, air, bantuan kemanusiaan dan elektrik adalah melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri turut mendedahkan berikutan ketegasan Malaysia dalam isu itu, Kementerian Luar menerima tiga ‘demarche’ (tatatindak) daripada kerajaan Amerika Syarikat pada 13, 18 dan 30 Okt yang meminta negara tidak meneruskan pendirian terutama keengganan Malaysia untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas.
Anwar pada masa sama turut mengingatkan rakyat agar tidak mempolitikkan konflik Palestin-Israel atau mengizinkan isu itu dipergunakan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat di Malaysia.
Masih mengenai Palestin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menggulung parbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pertahanan pada Selasa berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga sekiranya terdapat sebarang keputusan atau mandat untuk digerakkan sebagai tentera pengaman ke Palestin.
Mohamad berkata beliau juga akan membawa isu berkaitan Palestin pada sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampinganbagi mendengar suara negara-negara rantau itu berkaitan konflik berkenaan.
Turut membicarakan isu sama, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia memberi saranan supaya kerajaan memanggil duta negara yang menentang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika menggulung parbahasan bagi Kementerian Luar kelmarin juga tidak terlepas daripada menyentuh isu Palestin apabila berkata Malaysia tidak akan berhenti melakukan libat urus dan berusaha mempengaruhi negara lain dalam menyokong perjuangan Palestin dan mengutuk dengan keras kekejaman rejim Zionis.
Beliau berkata, Malaysia perlu meneruskan usaha mempengaruhi bukan sahaja dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) malah Kumpulan 77 Negara (G77) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
Selain itu persidangan Dewan Rakyat turut menyaksikan Anwar selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15, merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini turut dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan atas pemilihan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – Bernama