Isteri anggota tentera didedah AI, perkasa kemahiran jana pendapatan dari rumah

Facebook
WhatsApp
SUNTIK ILMU AI… Seramai 25 isteri anggota tentera di bawah naungan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT ATM) bergambar bersama sijil penyertaan selepas mengikuti Kursus Asas Menghasilkan Kandungan Digital Media Sosial Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) sempena National Training Week (NTW) yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS), semalam.

SIBU: Seramai 25 isteri anggota tentera di bawah naungan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT ATM) didedahkan dengan kemahiran menghasilkan kandungan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi Kursus Digital AI Content sempena National Training Week (NTW) yang berlangsung di Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS), semalam.

Program tersebut dianjurkan bagi memperkasa kemahiran digital komuniti, khususnya suri rumah, agar mampu memanfaatkan teknologi AI dalam menghasilkan kandungan kreatif dan komersial, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan tambahan dari rumah.

Penganjuran kursus berkenaan merupakan kesinambungan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) dan Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT yang telah diadakan di Kem Rascom, Sibu pada Jun lalu.

Sesi latihan intensif dikendalikan oleh pensyarah KKSRCS, Wan Akmal Syahiran Wan Ahmad, yang membimbing peserta menguasai penggunaan AI dalam penghasilan kandungan digital serta pemasaran dalam talian.

Modul yang disediakan memberi penekanan kepada aplikasi teknologi AI dalam bidang keusahawanan bagi membantu peserta meningkatkan kreativiti, kecekapan serta keupayaan mempromosikan produk atau perniagaan dengan lebih berkesan.

Salah seorang peserta, Nurul Hidayah Mat Johan, berkata pendedahan kepada teknologi AI menerusi kursus tersebut membuka perspektif baharu kepada isteri anggota tentera untuk memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian.

“Pada mulanya, teknologi AI kedengaran agak rumit, namun melalui kursus ini kami mendapati ia sangat mudah dan praktikal. Sebagai suri rumah, ilmu ini amat bernilai kerana dapat menjimatkan masa serta membantu menghasilkan bahan promosi perniagaan yang lebih menarik.

“Selain itu, kursus ini turut menyuntik keyakinan kepada kami untuk meneroka perniagaan kecil-kecilan sebagai usaha membantu memperkukuh ekonomi keluarga,” katanya.

Menurut KKSRCS, program tersebut mencerminkan komitmen institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam merealisasikan aspirasi  TVET untuk Semuadengan memastikan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti keluarga angkatan tentera.

Penganjuran program seumpama itu diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara institusi TVET dengan komuniti setempat, di samping menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan hasrat kerajaan menerusi National Training Week (NTW).

Oleh TARANI LANTING