SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata Tuanku Muhriz menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang dikurniakan pada 2001 dan 1979.
“Keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rais, yang merupakan Pengerusi Parti Wawasan Negara pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982. – Bernama





