
BINTULU: Amanah besar yang digalas selepas pemergian mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Allahyarham Datuk Talip Zulpilip, menjadi kompas kepada perjuangan ADUN Jepak kini, Iskandar Turkee, dalam meneruskan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh dan bersifat inklusif untuk seluruh penduduk kawasan itu.
Menurut Iskandar, tanggungjawab yang dipikul bukan sekadar tugas seorang wakil rakyat, tetapi amanah untuk memastikan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham terus subur, segar dan memberi manfaat kepada generasi seterusnya.

“Saya bukanlah menggantikan arwah, sebaliknya menyambung legasi perjuangannya.
“Kini, kita sedang melangkah ke era baharu iaitu era pemodenan Jepak.
“Namun dalam arus kemajuan ini, masih banyak cabaran yang perlu kita hadapi dan atasi bersama.” katanya ketika berucap dalam Majlis Riang Ria Raya PBB N.67 Jepak Bersama Ketua Masyarakat dan Komuniti di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Tambah beliau, kemajuan pesat Jepak hari ini berdiri atas asas kukuh yang telah diasaskan Allahyarham dalam memperjuang pelbagai isu rakyat termasuk pendidikan, hak tanah adat Vaie, pembangunan luar bandar serta pemeliharaan warisan budaya.
Menyentuh cabaran semasa, Iskandar menekankan bahawa fasa pemodenan Jepak perlu dilengkapi dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang bersifat inklusif.
Antara agenda utama yang ditekankan adalah pembinaan jaringan jalan raya ke semua kampung dan rumah panjang, liputan internet menyeluruh, perumahan untuk belia dan golongan B40, pendidikan vokasional dan teknikal, serta pemasangan lampu jalan solar di kawasan pedalaman.
“Ini bukan sekadar janji, tetapi satu komitmen penuh daripada saya.
“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin kita mampu menjadikan Jepak sebagai model pembangunan luar bandar yang moden, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sayap PBB Jepak iaitu Sayap Bapa, Wanita, Pemuda dan Belia, yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kekuatan dan perpaduan parti di peringkat akar umbi.
“Sayap Bapa dengan kebijaksanaan, Wanita dengan ketabahan, Pemuda dan Belia dengan semangat serta idea baharu.
“Kita ibarat sebatang tubuh, setiap satunya memainkan peranan penting,” ujarnya sambil merendah diri memohon maaf atas sebarang kelemahan dan kekhilafan dalam menjalankan amanah sebagai pemimpin.
Dalam majlis sama, Iskandar turut menyampaikan momento khas kepada Sahari Man, suami kepada kakak Allahyarham Datuk Talip Zulpilip, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, sumbangan dan perjuangan Allahyarham dalam membangunkan Jepak.
Beliau menyeru semua ahli PBB dan komuniti Jepak agar terus bersatu padu dalam mengangkat martabat kawasan tersebut.
“Kita (PBB Jepak) bukan hanya komuniti, kita satu keluarga besar – satu entiti, satu suara, satu hati.
“Bersama, kita akan pastikan Jepak terus melangkah ke hadapan dengan bangga,” katanya lagi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan itu turut diserikan dengan penyalaan pelita simbolik dan pemotongan pulut kuning sebagai lambang perpaduan serta semangat Aidilfitri yang diraikan bersama.
Oleh Carolyne Utih