Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Isi rumah Malaysia bazirkan hingga 97.3 kg makanan setahun – DOSM
  • NASIONAL

Isi rumah Malaysia bazirkan hingga 97.3 kg makanan setahun – DOSM

Utusan Sarawak 4 hours ago
SEBAHAGIAN besar pembaziran makanan isi rumah di Malaysia melibatkan makanan yang telah dimasak, dengan nasi mencatat kadar pembaziran tertinggi bagi kategori makanan diproses. – Foto hiasan

PUTRAJAYA: Isi rumah di Malaysia dianggarkan membazirkan makanan antara 31.9 kilogram (kg) hingga 97.3 kg per kapita setahun, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025, pembaziran adalah lebih ketara bagi makanan diproses atau dimasak iaitu 94.1 peratus berbanding makanan mentah sebanyak 88.7 peratus. 

“Dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pembaziran makanan berlaku selepas makanan disediakan, sekali gus menekankan kepentingan amalan isi rumah yang lebih baik dalam aspek perancangan hidangan, penyediaan makanan dan pengurusan lebihan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata 79.3 peratus isi rumah membuang sisa makanan bersama sisa isi rumah yang lain, manakala hanya 20.7 peratus mengamalkan pengasingan sisa makanan.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan bahawa pengasingan sisa makanan masih belum menjadi amalan lazim dalam kalangan isi rumah, sekali gus memberi cabaran kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sisa organik dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

Mohd Uzir berkata mengikut jenis makanan, sayur-sayuran merupakan kategori makanan mentah yang paling banyak dibazirkan iaitu 29.1 peratus diikuti buah-buahan (22.4 peratus) dan ikan atau makanan laut (15 peratus).

Bagi makanan diproses atau dimasak pula, beliau berkata nasi mencatatkan kadar pembaziran tertinggi iaitu 16.7 peratus, diikuti sayur-sayuran (15.8 peratus) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8 peratus).

“Corak ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan banyak melibatkan makanan segar yang mudah rosak serta makanan ruji yang lazim disediakan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Mohd Uzir berkata 19.3 peratus makanan dibazirkan kerana sudah tamat tempoh, manakala faktor lain termasuk penyimpanan lebihan makanan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku terlalu lama (18.1 peratus), pembelian secara berlebihan (15.2 peratus) dan memasak dalam kuantiti berlebihan (15.1 peratus).

“Dapatan ini menunjukkan bahawa pembaziran makanan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh amalan pengurusan makanan di peringkat isi rumah, khususnya dalam aspek perancangan pembelian, penyimpanan makanan dan kawalan kuantiti penyediaan makanan,” katanya.

Mohd Uzir berkata corak pembaziran makanan isi rumah di Malaysia didapati secara umumnya sejajar dengan trend global iaitu 79 kg per kapita setahun.

Beliau berkata Malaysia mempunyai ciri tempatan yang tersendiri, dipengaruhi oleh tabiat pemakanan masyarakat, khususnya pembaziran nasi dan sayur-sayuran.

“Maklumat yang dihasilkan akan menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pengurusan makanan yang lebih cekap, sekali gus menyumbang kepada pencapaian agenda pembangunan mampan negara,” katanya.-Bernama

Continue Reading

Previous: Rakyat Malaysia peruntuk lebih lima jam sehari untuk kerja tidak berbayar – DOSM
Next: KPDN lancar kempen ‘Jom Beli Selamat’ tangani penipuan dalam talian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.