
BINTULU: Kerjasama erat antara industri dan institusi latihan teknikal terus menjadi pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir di Sarawak, selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, IR 4.0 menawarkan peluang besar kepada industri untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti menerusi teknologi baharu.
“Hari ini, Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) merupakan satu kuasa transformasi yang membentuk masa depan landskap industri di Sarawak.
“Adalah penting bagi kita untuk menerima inovasi dan menyesuaikan strategi kita bagi memanfaatkan potensi era ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Anielia Siam, pada majlis penyerahan peralatan kimpalan bernilai RM90,000 daripada ENEOS Xplora Malaysia Limited kepada Sarawak Skills Bintulu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Sokongan Perniagaan ENEOS Xplora Malaysia Limited, Abang Azahari Abang Zen, kepada Pengarah Eksekutif Sarawak Skills merangkap Pengerusi Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC), Hallman Sabri.
Menurut Roland, kerjasama antara industri dan institusi latihan seperti Sarawak Skills Bintulu adalah kunci utama dalam memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi di negeri ini.
“Saya berharap majlis ini akan menjadi contoh kepada pihak lain bahawa industri dan institusi pendidikan perlu bekerjasama untuk meningkatkan peralatan latihan selaras dengan teknologi terkini,” tambahnya.
Beliau turut menyifatkan majlis penyerahan peralatan kimpalan itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam membangunkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan industri moden.
“Dengan kemahiran yang tepat dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Sarawak dijangka menjadi hab industri yang berdaya saing, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih