iQIYI turunkan enam episod “Madu atau Racun”, baki enam ditangguh

Facebook
WhatsApp
DITANGGUH...Drama Madu atau Racun yang menyaksikan enam episod diturunkan sementara daripada platform penstriman iQIYI, manakala enam lagi ditangguhkan bagi membolehkan keseluruhan 12 episod disunting dan dinilai semula.

KUALA LUMPUR: Platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun yang telah disiarkan, manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas bersama iQIYI dan syarikat produksi berkenaan atas arahan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata iQIYI dan penerbit turut memohon maaf serta menerima teguran dan pandangan FINAS serta panel penilai bagi menambah baik kandungan drama berkenaan.

“Pihak iQIYI dan penerbit bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini serta bersetuju menurunkan sementara episod yang telah dimuat naik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Bangunan Utama FINAS, Hulu Kelang, di sini hari ini.

Azmir berkata suntingan akan dibuat berdasarkan garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi kandungan penstriman OTT (over-the-top) sebelum kesemua 12 episod dinilai semula oleh panel berkenaan.

Beliau berkata tiada tempoh khusus ditetapkan untuk drama itu dimuat naik semula kerana ia bergantung kepada pihak produksi dan iQIYI untuk mengemukakan versi baharu bagi tujuan penilaian.

“Selepas panel berpuas hati dengan versi yang dipaparkan, barulah ia dibenarkan untuk tontonan umum,” katanya.

Azmir juga berkata aspek penapisan dan kandungan bukan di bawah tanggungjawab agensi itu berdasarkan Akta FINAS, yang antara lain merangkumi aktiviti penggambaran, kawal selia pekerja dan syarikat produksi serta pelesenan pawagam.

Beliau berkata ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia Internet serta stesen televisyen, manakala kerangka kawal selia bagi kandungan OTT masih dalam proses penggubalan.

Azmir berkata FINAS bagaimanapun mempunyai punca kuasa menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), yang perlu diperoleh syarikat produksi di Malaysia termasuk bagi kandungan untuk platform antarabangsa, OTT dan YouTube.

Beliau berkata FINAS sedang meneliti kemungkinan memasukkan syarat tambahan dalam SPP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat produksi sekiranya kandungan yang dihasilkan menimbulkan keresahan atau menjejaskan sensitiviti agama, kaum dan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya menolak penayangan drama berkenaan dan kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Drama 12 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd dan arahan Eyra Rahman itu, yang dibintangi Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha, mula ditayangkan di iQIYI pada 14 Ogos lepas. – Bernama

Konsert Karnival SibuJaya 2026 ditunda

SIBU: Konsert Karnival SibuJaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September ini ditunda berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin