KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian menghampiri paras kritikal apabila merekodkan 199 setakat 1.00 petang hari ini.
Berdasarkan data berkenaan, Serian mencatat bacaan IPU tertinggi di Sarawak, diikuti Kuching dengan 176 dan Samarahan (175), yang semuanya berada pada status tidak sihat.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan melebihi 200 boleh mencetuskan tindakan penutupan sekolah di kawasan atau daerah terlibat.
Menurut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semua sekolah di kawasan atau daerah yang mencatat bacaan IPU melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.
Sekiranya bacaan di Serian terus meningkat melepasi paras 200, sekolah-sekolah di kawasan berkenaan berdepan kemungkinan ditutup mengikut garis panduan ditetapkan KPM.
Sementara itu, bacaan di beberapa kawasan lain turut berada pada paras tidak sihat termasuk Sarikei (161), Sri Aman (158), Bintulu (156), Miri (152), Samalaju (151) dan Sibu (145).
Limbang dengan bacaan 78, ILP Miri (94), Mukah (97) dan Kapit (70) pula merekodkan status sederhana.
KPM turut menetapkan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Oleh Masrin Affirah





