
KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengumumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak teraktif bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Februari, justeru itu, tiada pembayaran akan dibuat untuk bulan ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, LGM berkata harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap pada Februari 2025 adalah RM3.85 sekilogram di Semenanjung Malaysia, RM3.50 sekilogram bagi Sabah dan RM3.40 sekilogram di Sarawak.
“IPG akan diaktifkan jika purata harga peringkat ladang bulanan bagi getah sekerap adalah RM3.00 sekilogram ke bawah. Jika IPG getah sekerap diaktifkan, IPG untuk lateks juga akan diaktifkan.
“Kadar IPG untuk lateks pula ditetapkan pada 90 sen sekilogram dengan 100 peratus Kandungan Getah Kering,” kata lembaga itu.
Ia berkata IPG akan dibayar kepada pekebun getah yang berkelayakan apabila ia diaktifkan. – Bernama