
MIRI: Pasukan IPD Miri (B) muncul juara Kejohanan Futsal Piala Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak 2025 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri di sini, petang semalam.
Pasukan itu muncul juara selepas menewaskan skuad PULAPOL sekali gus membolehkan pasukan itu membawa pulang piala kejohanan.
Naib juara pula dimenangi skuad PULAPOL, manakala tempat ketiga menjadi milik bersama IPD Lubok Antu dan Batalion 10 PGA.
Bagi kategori wanita, juara dimenangi IPK Sarawak, manakala tempat kedua dimenangi pasukan gabungan IPD Meradong/Kanowit/Sri Aman dan tempat ketiga menjadi milik IPK Kuching dan IPD Saratok.
Pada kejohanan itu, Koperal Faizul Abdul Mukim dari IPD Miri dan Konstabel Emiliana Jamseh (IPK) masing-masing dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik bagi kategori lelaki dan wanita.
Konstabel Muhd Ruzairi Mazlan (PULAPOL) dan Nor Hanifah Mohiden (IPK) pula muncul sebagai Penjaring Terbanyak.
Sementara itu, Pemain Terbaik Kejohanan menjadi milik Konstabel Muhammad Nizam Abdullah (IPK Lubok Antu) serta ASP Masitah Arbi. Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh PJP Sarawak, Dato’ Mancha Ata.
Mancha dalam ucapan beliau berkata kejohanan tersebut bukan sekadar tentang kemenangan atau kejuaraan semata-mata, sebaliknya lebih penting ialah semangat perpaduan, persahabatan dan kerjasama yang terjalin antara warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari pelbagai jabatan, formasi dan daerah.
“Inilah nilai sebenar yang kita harapkan daripada penganjuran aktiviti sebegini iaitu membina hubungan yang erat, saling mengenali dan menyemai semangat kekitaan serta berpasukan dalam suasana yang santai tetapi bermakna.
“Saya percaya aktiviti seperti ini bukan sahaja menyediakan platform persaingan sihat antara pasukan, malah memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan pegawai kanan, anggota dan pengawai awam PDRM,” katanya.
“Syabas kepada semua pasukan yang bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi serta menunjukkan komitmen dan disiplin membanggakan sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya.
Sebanyak 38 pasukan termasuk empat pasukan wanita dari 28 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sarawak telah mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang berlangsung mulai 12 Ogos lalu dan berakhir semalam.
Oleh Liong Chai Ling