KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa percaya kepada matlamat bersama menegakkan integriti dan mengekalkan amalan tadbir urus korporat yang baik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia selaras dengan visinya untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Integriti adalah penting dan sebagai salah satu tonggak yang menjadi asas atau tulang belakang kepada sesebuah negeri atau negara keseluruhannya.
“Ini kerana Integriti boleh secara langsung atau tidak langsung menjadikan atau memecahkan situasi politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara.
“Integriti yang lemah boleh membawa kepada tadbir urus yang buruk dan dari situ boleh membawa kepada prestasi ekonomi yang memusnahkan,” katanya berucap merasmi majliskan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonoimi Sarawak (SEDC) 2022, di Hotel Riverside di sini pagi ini.
Abang Johari turut menjelaskan mengenai penubuhan Unit Audit Dalam di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman di bawah Pejabat Premier sarawak.
Malah katanya, semua agensi kerajaan negeri diwajib menubuhkan Unit Integriti dan sekurang-kurangnya seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dalam organisasi.
“Kini terdapat konsensus sejagat bahawa menggalakkan tadbir urus yang baik adalah penting untuk mewujudkan persekitaran di mana negara boleh mencapai kemakmuran berkekalan.
“Semakin banyak bukti telah muncul mengenai akibat buruk tadbir urus terhadap prestasi ekonomi, antaranya kerugian dalam hasil kerajaan, pelaburan awam dan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti, pengurangan pelaburan swasta, dan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan.”
“Dalam konteks Perkhidmatan Awam Sarawak, integriti bermaksud kejujuran, amanah dan akauntabiliti yang ditunjukkan melalui ketelusan, keadilan dan kesaksamaan dalam tindakan.
“Integriti telah dikenal pasti sebagai satu daripada enam nilai bersamanya, – Integriti, Baik Hati dan Prihatin, Profesionalisme, Rasa Terdesak dan Pemilikan, Semangat Berpasukan, dan Berorientasikan Hasil.
“Dalam hal ini, berkhidmat untuk menjadikan Sarawak yang terbaik kerana kita Sarawak berhak mendapat yang terbaik.
“Malah pada hari ini, kita melihat banyak kerajaan digulingkan apabila rakyatnya tidak dapat menerima skandal rasuah yang kontroversi lagi,” katanya.
Premier Sarawak juga berkata, SEDC telah menubuhkan pelbagai inisiatif dalam memerangi rasuah di peringkat mereka sendiri.
“Seperti yang disebut oleh Tan Sri Abdul Aziz, penubuhan Jawatankuasa Pencegahan Rasuah (JAR) SEDC, Pelan Pengurusan Risiko Rasuah, Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi, dan telah mendapat pensijilan dalam MS ISO 37001;2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) oleh SIRIM tahun ini.
“Usaha SEDC ini harus dipuji kerana mereka memahami prinsip integriti harus diterapkan ke dalam sistem sambil mereka berusaha untuk menjadi organisasi yang lebih baik,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA