Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Institut SHEDA gesa kerajaan kaji semula struktur FWTA
  • TEMPATAN

Institut SHEDA gesa kerajaan kaji semula struktur FWTA

Utusan Sarawak 5 hours ago
INSTITUT SHEDA.

KUCHING: Industri pembangunan perumahan dan pembinaan di Sarawak semakin bimbang terhadap peningkatan kos pematuhan serta tenaga kerja susulan pelaksanaan Pendekatan Transformasi Tenaga Kerja Asing (FWTA) yang disifatkan menambah tekanan kewangan kepada sektor tersebut.

Institut SHEDA dalam satu kenyataan berkata, walaupun industri menyokong usaha kerajaan Sarawak memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan pendigitalan pengurusan pekerja asing, pelaksanaan FWTA telah membawa cabaran prosedur dan kos tambahan yang ketara kepada pemaju dan kontraktor di seluruh negeri.

Menurut kenyataan itu, di bawah sistem baharu yang diperkenalkan awal tahun ini bagi menggantikan rangka kerja MSEN, majikan kini perlu menanggung caj pentadbiran dan pemprosesan tambahan kira-kira RM1,854 bagi setiap pekerja, tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Pemain industri menyatakan caj tambahan ini hanya dikenakan di Sarawak dan tidak dilaksanakan di Semenanjung Malaysia atau Sabah, sekali gus meletakkan sektor pembinaan dan perumahan Sarawak pada kedudukan kurang kompetitif,” menurut kenyataan itu.

Institut SHEDA berkata, sektor perumahan dan pembinaan masih bergantung tinggi kepada tenaga kerja asing terutama bagi kerja-kerja awam, infrastruktur, pemasangan acuan, kerja bata, plaster, bumbung, jubin dan pembinaan am.

Katanya, walaupun usaha memperluas mekanisasi dan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) terus digalakkan, industri masih memerlukan tenaga kerja asing bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual serta mengekalkan kecekapan operasi.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan FWTA turut berlaku serentak dengan peningkatan beberapa kos lain termasuk dasar gaji minimum RM1,700, kenaikan harga bahan binaan, caj utiliti, kos pengangkutan serta cadangan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.

“Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini telah meningkatkan kos pembangunan dengan ketara dan memberi tekanan kewangan besar kepada pemaju serta kontraktor, khususnya yang terlibat dalam projek perumahan mampu milik dan perumahan pertengahan,” katanya.

Institut SHEDA berpandangan, walaupun objektif memperkemas pengurusan tenaga kerja adalah sesuatu yang baik, pendekatan pelaksanaan lebih praktikal dan berperingkat perlu dipertimbangkan bagi memberi masa mencukupi kepada industri menyesuaikan perancangan operasi, keperluan tenaga kerja dan kos projek.

Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kira-kira 10,050 rumah bernilai RM3.6 bilion telah dipindah milik di Sarawak pada 2025 dengan harga median rumah sekitar RM390,000.

“Difahamkan sekitar 68 peratus unit rumah yang dipindah milik berharga bawah RM400,000, menunjukkan majoriti pembeli rumah di Sarawak masih bergantung kepada produk perumahan dalam julat harga tersebut.

“Sekiranya kos buruh dan pematuhan terus meningkat, ia akhirnya akan diterjemahkan kepada kenaikan harga rumah baharu dan boleh menjejaskan aksesibiliti pembeli rumah terutama pembeli kali pertama,” menurut kenyataan itu.

Institut SHEDA turut menegaskan situasi tersebut membimbangkan ketika rakyat sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, kenaikan harga rumah akan menambah beban kewangan kepada pembeli terutama golongan muda dan keluarga baharu yang sudahpun berdepan cabaran kemampuan memiliki rumah.

“Perumahan adalah keperluan asas dan komponen penting kepada kestabilan ekonomi dan sosial.

“Sebarang pelaksanaan dasar yang meningkatkan kos pembangunan secara ketara perlu mengimbangi objektif kawal selia dengan realiti ekonomi serta kemampuan pemilikan rumah dalam jangka panjang,” katanya.

Menurut institut SHEDA, industri perumahan dan pembinaan kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak serta agensi berkaitan bagi memperkukuh tadbir urus tenaga kerja dan standard pematuhan.

Bagaimanapun, pihak industri berharap kerajaan dapat mengkaji semula struktur semasa FWTA, caj pentadbiran serta proses pelaksanaan bagi memastikan dasar yang diperkenalkan kekal praktikal, mampan dan menyokong pembangunan ekonomi serta objektif kemampuan pemilikan rumah di Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Jambatan Batang Lupar 1 buka lembaran baharu pembangunan pesisir Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.