
LAWAS: Institusi keluarga merupakan asas utama dalam membentuk masyarakat yang penyayang dan bertanggungjawab. Justeru itu, peranan ibu bapa serta penjaga amat penting dalam membentuk sahsiah dan nilai asas dalam diri seorang kanak-kanak.
Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Steve Lius, turut menzahirkan harapan agar nilai kasih sayang dalam sesebuah keluarga terus disemai dan diperkukuh demi melahirkan keluarga yang sejahtera dan harmoni.

“Institusi keluarga amat penting kerana acuan generasi masa depan bergantung kepada pembentukan sesebuah keluarga.
“Kita harus mengutamakan aspek kasih sayang, saling menghormati dan bertoleransi dalam keluarga sendiri sebelum mampu membentuk masyarakat yang prihatin,” katanya semasa merasmikan Program Advokasi Pelindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak, anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang, yang berlangsung di Dewan Masyarakat Trusan, hari ini.
Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, turut memaklumkan bahawa kepimpinan di Lawas, khususnya Dato Henry Sum dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sentiasa memandang serius kepentingan institusi kekeluargaan yang harmoni dan sejahtera.
Justeru itu, ibu bapa dan para peserta kursus wajar menjadikan program kekeluargaan sebagai wadah untuk menimba pelbagai maklumat baharu berkaitan cabaran yang bakal dihadapi pada masa kini dan akan datang.
“Cabaran hari ini jauh berbeza berbanding dahulu, dan masa depan pastinya lebih mencabar. Oleh itu, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan demi kebaikan diri serta keluarga,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus