SDNU Sarikei terus perkukuh perpaduan, perjuang kemajuan

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM… Warga SDNU Sarikei bergambar bersama Datoʼ Sri Huang Tiong Sii. 

SARIKEI: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bukan sekadar sebuah pertubuhan tetapi juga nadi perpaduan dan suara perjuangan masyarakat Dayak, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii. 

Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, ia menjadi landasan penting dalam memperkasa hak, martabat dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.

TANDATANGAN…. Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menandatangani plak perasmian blok baharu rumah SDNU Sarikei. 

“Saya percaya, SDNU Sarikei akan terus melangkah lebih jauh sebagai agen perubahan, memperkukuh perpaduan serta memperjuangkan kemajuan bersama.

“Bagi pihak SDNU Sarikei, kita amat bersyukur kerana telah menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM420,000 sejak 2018 hingga 2025, khusus untuk menaik taraf prasarana dan kemudahan dewan SDNU. 

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa mendengar dan memberi perhatian kepada keperluan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian blok baharu rumah SDNU Sarikei bertempat di Dewan SDNU Sarikei, hari ini. 

RASMI…. Datoʼ Sri Huang Tiong Sii merasmikan blok baharu rumah SDNU Sarikei. 

Tiong Sii berharap ahli-ahli SDNU dapat menggunakan kemudahan tersebut sebaik-baiknya bukan sahaja untuk aktiviti organisasi, tetapi juga untuk manfaat seluruh komuniti.

“Saya juga menggesa semua warga SDNU Sarikei agar saling berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak tanpa mengira ideologi politik untuk membangunkan Sarikei khususnya kawasan Repok,” katanya.

Turut hadir Penasihat SDNU Sarikei, Penghulu Bidai Gisang; Pengerusi SDNU Sarikei, Augustus Lim Entoi dan Naib Pengerusi SDNU Sarikei, Nanang Jelum. 

Oleh Earl Anek