

KUCHING: Semua peserta Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2025 diwajibkan memakai jaket keselamatan sepanjang perlumbaan bagi mengelak tragedi lemas berulang.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, peserta yang ingkar tidak dibenarkan bertanding.
“Langkah itu diambil selepas insiden tahun lalu yang meragut nyawa seorang peserta ketika perlumbaan di Beladin.
“Sekiranya ada bot melanggar peraturan, juri panel boleh membatalkan penyertaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Festival berprestij itu akan berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November dengan penyertaan 62 pasukan dari 22 negara termasuk Abu Dhabi, Mesir, Amerika Syarikat, Kanada, England, Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei, selain pasukan tempatan dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Seramai 2,143 peserta mengambil bahagian, menjadikan edisi kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan. Antara tarikan baharu ialah kategori Perahu Kenyalang 10 Pekayuh Lelaki dan Wanita untuk kakitangan kerajaan serta acara unik Battle of The Dragon atau Dragon Tug 6’s.
Kemuncak perebutan Piala Raja Sungai pada 2 November akan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama tetamu kehormat Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.
Hadiah keseluruhan bernilai RM433,500 ditawarkan termasuk wang tunai, piala dan pingat, dengan juara Raja Sungai membawa pulang piala pusingan serta RM30,000.
Oleh Amanda L