
KUCHING: Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kaunselor Eric Tay Tze Kok menyambut baik penambahbaikan skim Insentif Bayi Baru Lahir 2.0 (EFS 2.0), menyifatkannya sebagai dasar yang ikhlas dan tepat pada masanya serta mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak terhadap tadbir urus berorientasikan rakyat dan perlindungan sosial.
“Insentif Bayi Baru Lahir 2.0 bukan sekadar bantuan kewangan.
“Ia adalah hadiah ikhlas daripada Kerajaan Sarawak kepada setiap anak yang dilahirkan di negeri ini, satu tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.
Beliau merujuk kepada skim yang telah dipertingkatkan seperti diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Di bawah penambahbaikan tersebut, menurutnya, setiap bayi yang dilahirkan di Sarawak layak menerima insentif tunai RM1,000 serta perlindungan insurans hayat percuma bernilai sehingga RM10,000 selama setahun untuk seorang ibu atau bapa.
Skim ini kini diuruskan oleh Affin Bank dan merangkumi pengaktifan automatik insurans sebaik sahaja akaun bayi dibuka.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberikan sokongan kepada ibu bapa baharu pada masa kritikal, tetapi turut mencerminkan dedikasi kerajaan terhadap kebajikan jangka panjang rakyat,” jelas Tay.
Beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan penduduk merupakan faktor penting dalam pembangunan negeri. “Kita perlu berdepan dengan hakikat penurunan kadar kelahiran.
“Tanpa golongan muda yang mencukupi, masa depan tenaga kerja dan daya saing Sarawak akan terjejas,” katanya.
Setakat 31 Mac 2025, seramai 139,925 kanak-kanak telah menerima manfaat daripada skim ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM139.9 juta.
“Ini bukan sekadar angka. Ia mencerminkan usaha konkrit kerajaan dalam melindungi dan membela rakyatnya,” ujar beliau lagi.
Menurut Tay, dasar ini adalah pelaburan strategik dalam pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Ia lebih daripada bantuan sementara, ia adalah satu langkah bermakna dalam pembaharuan kebajikan yang berteraskan nilai, memfokuskan kepada rakyat, menyokong keluarga, dan mengukuhkan masyarakat,” ujarnya.
Sebagai seorang ahli majlis yang aktif turun padang, katanya, melalui pelbagai program kemasyarakatan, termasuk bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan keluarga ibu bapa tunggal, Tay menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.
“Saya turun ke lapangan setiap minggu kerana saya percaya cabaran sebenar rakyat hanya dapat difahami dengan berada bersama mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa populasi Sarawak kini dianggarkan sekitar 2.5 juta orang, menjadikan negeri ini antara yang sederhana dari segi saiz penduduk dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
“Penduduk adalah asas kemajuan sesebuah negeri dan negara. Sebab itu saya melihat Insentif Bayi Baru Lahir 2.0 ini sebagai dasar berpandangan jauh, bukan sekadar langkah jangka pendek,” katanya.
Tay turut berikrar untuk terus mempromosikan inisiatif ini dan memastikan lebih ramai keluarga memahami cara untuk mengakses serta memanfaatkan insentif tersebut.
“Saya menyokong penuh dasar ini. Adalah amat menggalakkan apabila kerajaan mengambil langkah proaktif demi kebajikan rakyat dan masa depan negeri.
“Saya menyarankan semua pihak menyebarkan maklumat ini, menggalakkan keluarga muda menceburi dunia keibubapaan, dan bersama membina masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak,” katanya.
Oleh Connie Chieng