AKUN GIMAN
SIBU: Pesanan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem supaya rakyat menjaga negeri ini dengan baik, perlu sentiasa diingati.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, bagi tujuan itu rakyat perlu memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Tok Nan cakap ‘Jaga Sarawak Baik-baik’. Kita mesti jaga bagus-bagus Sarawak, rakyat Sarawak mesti bersatu padu memberikan sokongan kepada GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Mobilisasi Umum GPS Untuk P211 Lanang dan P212 Sibu di sini, malam tadi.
Dr Sim yang juga Timbalan kepada Premier Sarawak berkata, sokongan itu amat penting bagi memberi kemenangan besar kepada GPS.
Menurutnya, GPS dari 2018 hingga sekarang adalah sebuah politik bebas dan sudah berdiri sendiri.
“Politik yang stabil amat penting demi kelancaran pentadbiran negara.
“Politik di Semenanjung Malaysia tidak stabil hingga menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal lalu.
“Sekarang di Semenanjung Malaysia tiap-tiap hari bergaduh yang mengakibatkan pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali.
“Saya harap pada PRU-15 ini tidak akan bergaduh lagi dan tidak mahu melihat situasi yang sama berulang.
“Oleh itu, sokongan padu rakyat di Sarawak sangat penting bagi kestabilan politik dengan memberikan kemenangan kepada GPS,” katanya.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menggesa penduduk Sibu agar turun beramai-ramai untuk mengundi calon GPS bagi kerusi Parlimen Lanang dan Parlimen Sibu pada 19 November ini.
Katanya, kemenangan bukan sahaja untuk kedua-dua kerusi tersebut malah di kerusi Parlimen di seluruh Sarawak.
Turut hadir Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Tanjung Batu Johnny Phang, calon GPS Parlimen Lanang Wong Ching Yong dan calon GPS Parlimen Sibu Clarence Ting.