
KUCHING: Industri di Sarawak perlu beralih kepada proses pengeluaran hijau secara menyeluruh bagi memastikan produk tempatan terus berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa yang semakin menitikberatkan aspek kelestarian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan tenaga hijau semata-mata tidak mencukupi sekiranya proses pembuatan masih bergantung kepada kaedah konvensional yang menyumbang kepada pelepasan karbon.
Menurut beliau, transformasi itu penting kerana pengguna dan pasaran global kini memberi keutamaan kepada produk yang dihasilkan melalui proses mesra alam.
“Kalau kita menghasilkan keluli, bukan sahaja tenaga yang digunakan perlu hijau, malah keseluruhan proses pengeluarannya juga mesti hijau.

“Apabila produk itu diperakui sebagai produk hijau, ia mempunyai nilai premium dan pasaran akan menjadi milik anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks SWG Green di Demak Laut, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, institusi kewangan kini turut memberi keutamaan kepada industri yang mematuhi agenda kelestarian global, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembiayaan kepada syarikat yang mengamalkan proses pengeluaran hijau.
Pada masa sama, katanya, beberapa negara dan blok ekonomi utama seperti Kesatuan Eropah mengenakan levi terhadap produk yang tidak dihasilkan menerusi proses mesra alam.
“Jika produk itu tidak melalui proses hijau, akan ada penalti dan kos tambahan yang perlu ditanggung. Namun, jika produk itu diperakui hijau, levi tersebut tidak dikenakan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri tempatan supaya segera menyesuaikan operasi mereka dengan keperluan semasa agar tidak ketinggalan dalam persaingan ekonomi global.

“Pasaran yang perlu diterokai tidak hanya tertumpu kepada Sarawak atau Malaysia, sebaliknya meliputi rantau ASEAN yang menawarkan potensi lebih luas kepada pertumbuhan industri tempatan.
“Dalam usaha menyokong perkembangan sektor berkenaan, kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri masa depan,” jelasnya.
Beliau berharap SWG Green dapat menjadi antara peneraju transformasi industri hijau di Sarawak serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Untuk rekod, SWG Energy Group yang ditubuhkan pada 2014 menerusi Sinowaja Malaysia Sdn Bhd kini berkembang sebagai penyedia penyelesaian tenaga bersepadu meliputi integrasi struktur keluli dan sokongan kejuruteraan.
Kompleks SWG Green & Decarbon Hub di Demak Laut diwujudkan bagi menyokong pembangunan infrastruktur hijau serta inisiatif penyahkarbonan di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah