Indonesia tambah 1,500 anggota tentera, 6 helikopter tangani kebakaran Kalimantan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR yang dirakam pada 31 Julai menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran hutan di kawasan tanah gambut seluas lebih 100 hektar di Pulang Pisang, wilayah Kalimantan Tengah, Indonesia, susulan musim kemarau yang berpanjangan. Foto AFP

JAKARTA: Kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan bersama enam helikopter besar bagi operasi pengeboman air telah dikerahkan ke Kalimantan Barat ketika pihak berkuasa Indonesia mempergiat usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah.

Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya berkata Presiden Prabowo Subianto mengarahkan langkah itu dilaksanakan dalam mesyuarat yang diadakan sejurus selepas beliau tiba di Pangkalan Tentera Udara Indonesia Supadio di Kalimantan Barat pada Sabtu bagi meninjau usaha menangani kebakaran berkenaan.

Teddy berkata anggota tambahan itu yang terdiri daripada tiga batalion Tentera Nasional Indonesia (TNI) dari luar Kalimantan akan dibawa masuk mulai hari ini hingga esok pagi bagi memperkukuh pasukan yang sedia terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran.

“Anggota di lapangan juga akan digerakkan sepenuhnya untuk memadam titik panas, manakala usaha ini akan diperkukuh dari udara dengan penambahan enam helikopter besar bagi operasi pengeboman air yang dijadual tiba pada petang Sabtu” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden turut mengarahkan pihak berkuasa mempergiat Operasi Modifikasi Cuaca serta mengerahkan lebih banyak pam dan peralatan penggerudian air, khususnya di kawasan tanah gambut, bagi memadam titik panas bawah tanah.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), pemantauan satelit dalam tempoh 24 jam sebelum itu mengesan 198 titik panas berkeyakinan tinggi di seluruh Kalimantan Barat.

Sekurang-kurangnya 3,100 titik panas berkeyakinan sederhana dan 406 berkeyakinan rendah turut dikesan, dengan kebanyakannya tertumpu di beberapa kabupaten di bahagian selatan dan timur Kalimantan Barat.

Kebakaran itu turut memberi kesan di luar Indonesia, dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia yang memetik Pusat Meteorologi Khusus ASEAN melaporkan kepulan asap sederhana hingga tebal daripada gugusan titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak. – Bernama