Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Indonesia siasat nahas pesawat ATR 42 di Gunung Bulusaraung
  • GLOBAL

Indonesia siasat nahas pesawat ATR 42 di Gunung Bulusaraung

Utusan Sarawak 4 hours ago
ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat membawa sebuah beg mayat dari lokasi kemalangan sebuah pesawat turboprop Indonesian Air Transport, sehari selepas ia terhempas ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar, di Gunung Bulusaraung, Sulawesi Selatan pada 18 Januari 2026. Foto AFP

JAKARTA: Indonesia memulakan siasatan berhubung nahas pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport di Gunung Bulusaraung, Sulawesi Selatan, ketika pasukan penyelamat meneruskan usaha pemulihan, lapor Agensi Berita ANTARA.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa setakat ini belum ada sebarang kesimpulan dibuat mengenai punca kejadian, dan keadaan cuaca adalah antara faktor yang sedang diperiksa, kata ketua penerbangan awam Lukman F. Laisa kelmarin.

Direktorat Penerbangan Awam melaporkan pesawat turboprop dengan pendaftaran PK-THT itu terputus hubungan pada Sabtu semasa dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar.

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat bersiap sedia untuk mengangkat serpihan bangkai sebuah pesawat turboprop Indonesian Air Transport, sehari selepas ia terhempas ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar, di Gunung Bulusaraung, Sulawesi Selatan. Foto AFP

Pasukan mencari dan menyelamat gabungan kemudiannya menemukan serpihan pesawat di Gunung Bulusaraung, yang terletak di sempadan daerah Maros dan Pangkajene Kepulauan di Sulawesi Selatan, kata Lukman.

Lokasi nahas adalah kira-kira 26.49 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di Makassar dan berhampiran dengan pos mencari dan menyelamat nasional yang terdekat.

Serpihan ditemukan pada pagi Ahad semasa operasi mencari bersepadu melalui darat dan udara yang melibatkan dron serta helikopter tentera udara Indonesia.

Dron yang dikerahkan pada 6.15 pagi waktu tempatan membantu memandu pasukan ke kawasan tersebut sebelum tinjauan helikopter dilakukan di kawasan rupa bumi yang curam.

Pada 7.46 pagi, penyelamat mengenal pasti serpihan tingkap secara visual, yang menandakan lokasi disyaki nahas, kata pegawai.

SEORANG anggota pasukan mencari dan menyelamat membawa serpihan bangkai sebuah pesawat turboprop Indonesian Air Transport. Foto AFP

Tiga minit kemudian, serpihan yang lebih besar dipercayai bahagian badan pesawat dan ekor dikesan berhampiran, sekali gus mengesahkan lokasi pesawat tersebut.

Lukman menegaskan bahawa pihak berkuasa masih belum dapat menentukan punca kemalangan dan meminta semua pihak bersabar sepanjang siasatan dijalankan.

Semua kuasa siasatan terletak di bawah Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, yang akan mengeluarkan penemuan rasmi selaras dengan peraturan, menurut kementerian itu.

Terdapat 10 orang di dalam pesawat tersebut, termasuk tujuh anak kapal dan tiga penumpang, menurut direktorat penerbangan awam.

Anak kapal tersebut terdiri daripada kapten, pegawai pertama, pegawai operasi penerbangan, dua jurutera, dan dua pramugari, kata pegawai.

PASUKAN mencari dan menyelamat bersama-sama mendaki ke arah lokasi yang dipercayai tapak nahas sebuah pesawat turboprop Indonesia Air Transport. Foto AFP

Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan mengesahkan bahawa tiga penumpang yang dalam perjalanan atas urusan rasmi ialah Ferry Irawan, Deden Mulyana, dan Yoga Naufal, yang bekerja dalam bidang analisis kapal, pengurusan aset negara, dan fotografi udara.

Usaha pemindahan sedang dijalankan, diketuai oleh agensi mencari dan menyelamat nasional dengan sokongan tentera, polis, dan komuniti dari pos arahan sejauh 4.6km.

Laporan awal menunjukkan jarak penglihatan kira-kira lapan km dengan keadaan separa berawan, manakala data cuaca terkini sedang diselaraskan dengan agensi meteorologi.

Pada hari ketiga pencarian, penyelamat menemukan mayat seorang wanita dari gaung sedalam 50 meter di bawah puncak, sehari selepas menemukan mangsa lelaki. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Pereka fesyen Itali Valentino Garavani meninggal dunia pada usia 93 tahun
Next: Helikopter persiaran hilang di barat daya Jepun, disyaki terhempas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.