DALAM borak-borak tentang politik di mana-mana ketika ini, sudah cukup ramai yang bercakap tentang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tidak lama lagi di Malaysia.
Namun, tiada sesiapa yang dapat membayangkan tarikh atau bulan atau sama ada ia akan diadakan pada tahun ini atau tahun depan.
Salah satu indikasi yang mengukuhkan pengamatan pemerhati politik adalah tentang ketegasan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sudah mengesahkan pengembangan sayapnya ke Semenanjung Malaysia dan menjalinkan kerjasama dengan Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam kalangan pemerhati politik, ada yang mengaitkan juga kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini sebagai salah satu indikasi. Muhyiddin telah dipetik sebagai berkata beliau tidak bercadang untuk mempertahankan kerusi Gambir pada Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Alasan Muhyiddin adalah beliau ingin menumpu perhatian beliau terhadap pengurusan parti dan hal ehwal nasional. Tumpuan terhadap PRU-15?
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng pula kini menerajui Parti Bangsa Malaysia (PBM), sebuah parti nasional setelah nama Sarawak Workers’ Party (SWP) yang ditubuhkan bapanya, Sng Chee Hua, ditukar nama kepada PBM, sambil mengikrarkan bahawa PBM akan memohon untuk menjadi anggota Barisan Nasional (BN).
Ramai dalam kalangan pemerhati politik melihat gerak Larry Sng itu adalah satu cubaan untuk mengusahakan PBM boleh dikembangkan ke Sarawak memandangkan parti baharu itu ialah parti pelbagai kaum, serta tidak berasaskan satu-satu kaum seperti parti-parti lain yang ada di Malaysia selama ini.
Tidak terlepas daripada pengamatan juga adalah tentang kesungguhan sebuah lagi parti baharu yang cuba ditubuhkan, iaitu Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) yang dengan lantang memprotes penolakan pendaftarannya oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini. Sains ingin menyertai PRU15?
Berdasarkan pengamatan-pengamatan itu, ternyata bahawa apabila PRU-15 diadakan nanti, sudah tentu perkembangan baharu dalam lanskap politik Malaysia akan muncul dan pilihan raya akan datang bakal menyaksikan kesesakan parti-parti politik.