
NEW DELHI: India, antara pengeluar gula terbesar di dunia, telah melarang eksport komoditi utama itu sehingga akhir September bagi memastikan bekalan domestik mencukupi serta mengelakkan kenaikan harga.
Kerajaan menghentikan eksport “berkuat kuasa serta-merta”, menurut perintah yang dikeluarkan semalam, kecuali beberapa pengecualian terhad termasuk konsainan yang telah dalam proses penghantaran.
Eksport di bawah perjanjian kerajaan bagi tujuan keselamatan makanan dengan negara lain turut dibenarkan, menurut perintah tersebut.
Larangan itu akan berkuat kuasa sehingga 30 September.
Langkah tersebut diambil susulan kebimbangan bahawa musim tuaian gula negara yang bermula sekitar Oktober mungkin terjejas akibat hujan monsun di bawah paras purata berikutan fenomena cuaca El Nino.
Perang Iran turut menjejaskan ekonomi India yang banyak bergantung kepada bekalan tenaga dan import baja dari Timur Tengah, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan terhadap prospek pertumbuhan New Delhi.
Eksport gula India telah merosot dengan ketara sejak mencapai kemuncak pada 2021–22, menurut data kerajaan.
Penghantaran mencapai rekod 11 juta tan pada 2021–22, namun merosot kepada 6.3 juta tan pada 2022–23.
Ia jatuh mendadak kepada 100,000 tan pada 2023–24 sebelum pulih sedikit kepada kira-kira 900,000 tan pada 2024–25. – AFP