PENANTIAN Penduduk di sini untuk melihat Lapangan Terbang Mukah (LTM) baharu yang siap awal tahun ini beroperasi akhirnya menjadi kenyataan.
Peristiwa manis itu diterjemahkan dengan penerbangan yang pertama berlepas daripada infrastruktur mega bernilai RM435.9 juta berkenaan pada pagi semalam.
Penerbangan MH3414 ke Kuching itu berlepas pada 10.25 pagi yang membawa dua penduduk tempatan Mukah dan seorang dari Kuching.
Sebelum itu, pesawat tersebut juga datang dari Kuching membawa tujuh penumpang tiba pada sekitar 10.00 pagi semalam.
Pada lazimnya, ketibaan sesuatu yang baharu itu atau julung kali akan disambut dengan penuh simbolik iaitu upacara pancutan air kepada pesawat berkenaan sejurus mendarat di landasan.
Simbolik itu disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi yang juga menyambut ketibaan penumpang dari Kuching itu.
Kedua-dua ADUN itu percaya pembukaan LPBM akan membawa banyak impak positif terhadap pembangunan di kawasan ini dan Bahagian Mukah, amnya.
Jelas Yakub, ia adalah kemudahan infrastruktur yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak untuk kesejahteraan rakyat.
“Ini adalah projek semasa Tun Pehin Sri Taib Mahmud lagi dan kini diteruskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Lapangan terbang baharu akan menyediakan peluang perkerjaan kepada penduduk tempatan terutama dari segi pengangkutan udara.
“Sebelum ini, kita perlu ke Sibu dan memerlukan perjalanan darat yang agak jauh dari sini.
“Kemudahan infrastruktur ini mampu mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan kita, ia adalah dirancang oleh Kerajaan Sarawak dan terima kasih Kerajaan Negeri dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujar Yakub.
Sementara itu, Yussibnosh percaya pihak berkaitan akan sentiasa meningkatkan kemudahan itu sesuai dengan perkembangan semasa.
Apabila diajukan soalan tentang kemungkinan pesawat-pesawat syarikat lain yang akan menggunakan Lapangan Terbang tersebut kelak, beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.
“Terima kasih dan syukur atas pembukaan hari ini (semalam) dan harapan untuk melihat pesawat yang lebih besar seperti ATR akan menjadi kenyataan berikutan kerjasama pihak terbabit seperti Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan MasWing.
“Kita difahami bahawa bilangan penumpang adalah meng ikut keperluan yang ada.
“Seandai pesawat lain yang ingin menggunakan kemudahan di sini, mereka perlu memohon kepada pihak berkuasa untuk mendapat kebenaran mendarat.
“Saya difahamkan perkhidmatan yang sedia ada adalah mengikut standard seperti bilangan kakitangan dan sebagainya.
“Sudah semestinya kita mengharapkan ia akan bertambah atau berkembang dari semasa ke semasa,” ujar Yussibnosh.
Turut hadir, Pengarah CAAM Wilayah Sarawak, Ling Swee Ing, Pengurus CAAM LTM, Mohd. Abd Hafiz@Talim Tepong dan kakitangan LTM termasuk pengendali pesawat berkenaan.
Terletak sekitar tujuh kilometer dari Pusat Bandar Mukah, LTM itu mempunyai sebuah landasan sepanjang 1.5 kilometer dengan lebar 30 meter.
LTM baharu itu juga mempunyai keluasan bangunan terminal adalah 3500 meter persegi dengan kapasiti 204 penumpang pada waktu puncak berbanding LTM Lama yang hanya boleh memuat 40 penumpang sahaja.
Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan LTM baharu itu disempurnakan Pengurus Wilayah Tengah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir Anding Unchi
kepada Eksekutif Kanan Operasi MAHB, Abang Ya’kub Abang Joss yang mewakili Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 26 April lalu.
Oleh HENRY B SIYU