Imej NASA dedahkan kawah hentaman roket SpaceX di Bulan

Facebook
WhatsApp
GABUNGAN imej yang dihasilkan menggunakan gambar yang dikeluarkan oleh NASA Goddard Space Flight Center dan Intuitive Machines pada 18 Ogos 2026 serta dirakam oleh Kamera Sudut Sempit pada Pengorbit Peninjau Bulan (LRO) milik NASA menunjukkan pandangan tanpa tarikh (kiri) permukaan Bulan dan imej yang dirakam antara 11 dan 12 Ogos 2026, yang memperlihatkan kawah terbentuk selepas peringkat atas roket Falcon 9 menghentam permukaan Bulan pada 5 Ogos 2026. Foto AFP

WASHINGTON, Amerika Syarikat: NASA mengeluarkan imej baharu kawah yang terbentuk akibat hentaman roket SpaceX di Bulan pada awal bulan ini.

Gambar berkenaan dirakam oleh Pengorbit Peninjau Bulan (LRO) antara 11 dan 12 Ogos, menunjukkan kawah yang terbentuk selepas peringkat atas roket SpaceX Falcon 9 menghentam permukaan Bulan pada 5 Ogos.

Saintis agensi angkasa Amerika Syarikat itu menentukan kawah berkenaan berukuran 18 meter lebar dan kurang daripada tiga meter dalam, berdasarkan panjang bayang-bayangnya.

Falcon 9 dilancarkan pada Januari 2025 dengan membawa pendarat Bulan Blue Ghost 1 milik Firefly Aerospace, dalam misi persendirian yang berjaya melakukan pendaratan lembut di Bulan.

Imej berkenaan bukan yang pertama menunjukkan lokasi hentaman itu. Agensi angkasa Korea Selatan menerbitkan gambar pada 6 Ogos yang dirakam sehari sebelumnya oleh Pengorbit Bulan Perintis Korea (KPLO), turut dikenali sebagai Danuri.

LRO yang beroperasi sejak 2009 mengorbit Bulan dari kutub ke kutub setiap dua jam, manakala Bulan berputar di bawahnya.

Dalam satu kenyataan, NASA berkata, proses merakam imej berkenaan bukan tugas mudah.

Untuk merakam lokasi tertentu di Bulan, kapal angkasa itu perlu menunggu sehingga kawasan berkenaan berada dalam pandangan, yang mengambil masa enam hari dalam kes ini.

Kapal angkasa itu juga perlu diletakkan pada sudut yang tepat supaya kameranya menghala ke arah kawah ketika melintasi kawasan berkenaan pada jarak kira-kira 97 kilometer.

Masa juga menjadi cabaran, menurut NASA.

“Jika kamera merakam walaupun 10 saat lebih awal atau lewat, sasaran akan tersasar 16 kilometer dari tengah,” menurut agensi itu.

Imej yang dirakam dari sudut pandangan berbeza menunjukkan ciri-ciri berlainan, termasuk jalur lebih cerah dan gelap yang memancar di sekitar kawah.

NASA menjelaskan jalur gelap itu terdiri daripada debu dan batuan permukaan yang telah mengalami perubahan akibat angin suria, sinar kosmik galaksi dan hentaman mikrometeorit dalam tempoh yang lama.

Bahan berkenaan terhambur akibat perlanggaran dari kedalaman kira-kira 0.5 meter di bawah permukaan.

Jalur lebih cerah yang mengelilingi tebing kawah pula terdiri daripada bahan baharu yang digali keluar dari lapisan lebih dalam di bawah permukaan.

Usaha mencari lokasi kawah itu membabitkan pakar dan peminat angkasa dari seluruh dunia.

NASA berkata, Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi secara berperingkat memperhalusi trajektori sehingga lokasi hentaman dikenal pasti sebelum maklumat berkenaan diserahkan kepada Korea Selatan.

Pasukan Danuri kemudian menghantar koordinat berkenaan kepada pasukan LRO NASA bagi membantu memperhalusi urutan pengimejan susulan. – AFP