NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Sebanyak 10 pertubuhan dan persatuan yang terdiri daripada rumah-rumah anak yatim piatu, belia dan kanak-kanak istimewa, rumah orang buta dan rumah orang pekak menerima sumbangan masing-masing RM5,000 dalam Program Belia Prihatin 2020, semalam.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam majlis yang serba ringkas di bilik mesyuarat kementeriannya Bangunan Baitul Makmur.
Menurut Abdul Karim, program ini diadakan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan membantu dan memberi sumbangan kepada golongan belia yang kurang bernasib baik yang terdiri daripada para belia yang kurang berkemampuan, belia yatim piatu dan belia istimewa (OKU).
“Program Belia Prihatin adalah merupakan antara program yang dilaksanakan setiap tahun pada bulan Ramadan oleh kementerian saya.
“Kebiasaanya kita akan mengadakan program sebegini di hotel-hotel dengan menjemput semua belia-belia tersebut berbuka puasa dan berterawih seterusnya memberi sumbangan kepada mereka secara individu.
“Tapi pada tahun ini, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka kita hanya menjemput wakil daripada persatuan dan pertubuhan untuk menerima sumbangan untuk diagihkan kepada belia-belia berkenaan,” katanya.
Tambah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu lagi, untuk tahun ini pihak kementeriannya telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 80 program, namun atas pandemik Covid-19, hanya 17 program termasuk program semalam siap dilaksanakan.
“Sememangnya saya berharap kita semua akan mengadakan kaedah berbeza di dalam melaksanakan program dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, termasuk menggunakan kaedah atas talian dan lain-lain kaedah kreatif bagi bersama meminimakan pengularan wabak ini.
“Kementerian saya juga akan mengemaskini program bagi membolehkan pengisian yang relevan,” ujarnya.
Antara objektif program berkenaan adalah menyemarakkan program belia di bulan Ramadan disamping meningkatkan kesedaran dan menanam sikap keprihatinan, kasih sayang, silaturrahim, serta rasa tanggungjawab golongan belia kita kepada masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya di kalangan belia sekali gus menanam sikap kesukarelawanan di kalangan belia dan persatuan belia agar berusaha dengan mengadakan banyak program sebegini bagi membantu yang kurang bernasib baik.
“Saya amat gembira kerana inisiatif ini mempunyai makna yang sangat besar kepada kita semua. Ia menjadi jambatan Belia kepada Belia di dalam membantu masyarakat yang memerlukan khususnya pada musim perayaan ini,” jelasnya lagi.
Pertubuhan dan persatuan yang menerima sumbangan ialah Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni (Batu Kawa), Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Sarawak Society For Deaf, The Salvation Army Kuching Children’s Home, Sarawak Society For Blind, Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak, Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal Kuching (PERKATA), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (Belia Istimewa), The Society For Kuching Urban Poor dan OKU PDK Samarahan.