KETIKA ini pandemik Covid-19 di Malaysia dan negara-negara dunia belum lagi berakhir. Kesemua negara lain di dunia akan terus menghadapi pandemik ini untuk tempoh yang lama tanpa diketahui bila akan berakhir. Hal yang pasti, hidup ini perlu diteruskan dan masyarakat akan menghadapinya dengan lebih tabah.
Berdasarkan perspektif sains, tindakan saintifik telah dilaksanakan apabila vaksin telah dihasilkan untuk melawan Covid-19. Daripada Pfitzer, AstraZeneca, Sinovac dan pelbagai lagi jenama vaksin telah diperkenalkan di seluruh dunia dan dihasilkan secara besar-besaran. Namun, hakikatnya penghasilan vaksin tidak mencukupi kerana ia perlu diikuti oleh tingkah laku sosial dan kebudayaan masyarakat atau ilmu masyarakat untuk berdepan dengan epidemik ini.
Peranan Ilmu kemasyarakatan
Di sinilah peranan dan dimensi sains sosial atau dimensi kemanusiaan perlu disejajarkan untuk membantu menangani pandemik Covid-19 ini secara akademik. Misalnya, kempen mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah kempen berterusan yang digerakkan melalui komunikasi kombinasi media pihak kerajaan, yang dibantu oleh media-media swasta dan gerakan pertubuhan pihak bukan kerajaan bagi memastikan rakyat benar-benar faham mengenai situasi semasa, peka dengan bahaya jangkitan dan mengetahui rasional keperluan prosedur tersebut. Di sinilah peranan aspek komunikasi perhubungan awam menjelaskan secara lebih jelas, tepat dan padat agar dapat diterima oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,
Aspek tingkah laku manusia termasuklah amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun selepas keluar dari mana-mana tempat, atau sebelum makan atau minum. Sentiasa juga memakai pelitup muka di tempat awam dan tempat bergejala, sentiasa mematuhi peringatan khususnya dari pihak Kementerian Kesihatan. Maka, di sinilah kempen media yang diringkaskan sebagai 3W (Wash, Wear, Warn).
Kempen Komunikasi
Begitu juga kempen 3S atau 3C pula memanfaatkan ringkasan kata-kata yang mengingati rakyat. Sesak, Sempit Sembang (3S) atau dalam bahasa Inggerisnya crowded, confines, close conversation. Dengan kata lain, tindakan ini merupakan kempen untuk ahli masyarakat menjauhi kawasan-kawasan yang sesak bagi mengelakkan jangkitan yang mudah berlaku, usaha mengelak berada di kawasan sempit penting kerana jarak terlalu dekat boleh menyebabkan jangkitan mudah berlaku, manakala amat disarankan untuk mengelak daripada bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat kerana tempias air liur atau kuman boleh menjangkiti. Kempen ini sebenarnya amat efisien dan sejajar dengan usaha pencegahan lebih baik daripada merawat penyakit.
Kempen 3W dan 3S ini mudah diingati oleh masyarakat kerana padat, ringkas dan berinformatik. Kempen ini, di media social, dilaksanakan dengan gabungan aspek seni dan memanfaatkan teknologi. Dengan penggunaan ilustrasi yang menarik, memanfaatkan teknologi memberikan kesan berimpak tinggi, maka kempen mudah diperluaskan ke pelbagai tempat tanpa mengira batasan waktu dan tempat. Pada masa yang sama, di dada-dada media arus perdana dan negeri, kempen seumpama ini juga digerakkan secara bersama melalui komitmen agenda media yang dirancang khususnya, misalnya menggalakkan penulisan-penulisan mengenai pentingnya penjagaan tingkah laku bagi memastikan masyarakat tidak dijangkiti oleh Covid-19.
Memulihkan Kepercayaan Masyarakat
Berdasarkan aspek ini, maka ternyata bukan sahaja peranan vaksin penting bagi mencegah Covid-19, akan tetapi peranan jentera kempen komunikasi memberikan kesan penting bagi mencegah daripada berlakunya penularan wabak dan kesedaran kepada masyarakat. Di sinilah sudut membudayakan cara hidup baharu atau norma baharu dapat diterapkan terhadap pelbagai lapisan masyarakat.
Apabila kenaikan kes Covid-19 pernah melonjak hingga belasan ribu malah puluhan ribu, berlakunya ketidakpercayaan atau kekurangan keyakinan terhadap agensi-agensi yang ada. Maka, kajian-kajian mengenai tingkah laku manusia dan masyarakat perlu diperluaskan bagi merancang formula dan strategi terbaik untuk memulihkan kembali kepercayaan ahli masyarakat.
Kepercayaan ini penting agar ahli masyarakat dapat bergerak ke depan dan percaya apa-apa yang berlaku ini bersifat sementara dan akan berlaku perubahan situasi yang lebih baik. Bagi memulih dan meningkatkan kepercayaan, maka institusi yang berkaitan perlu bekerjasama bagi melakukan kajian bermanfaat untuk menangani isu yang berlaku akibat pandemic, agar dapat mengurangkan kesan buruk terhadap masyarakat.
Kerjasama Merentasi Institusi
Maka, kajian boleh dilakukan di peringkat nasional dan negeri, atau di setiap kementerian tertentu, misalnya di Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan sebagainya. Di setiap negeri pula membuat kajian lebih bersifat mikro itu memberikan jalan-jalan penyelesaian menangani Covid-19 dari aspek sains sosial dan kemanusiaan. Sudah pasti, hal sedemikian ini memerlukan kerjasama yang erat dengan universiti-universiti dari segi menyediakan kepakaran dan membuat kajian dengan lebih akademik. Kerjasama yang baik ini akan memberikan manfaat yang lebih baik kepada masyarakat.
Pengenalan kepada amalan-amalan terbaik dari segi pencegahan, penyesuaian diri dan budaya, kempen budaya baharu, dan seterusnya memberikan pencerahan kepada masyarakat untuk memahami masalah-masalah ini dan cara menangani dari segi sains sosial dan kemanusiaan masih belum banyak diterokai, sedangkan perkara inilah yang perlu dilakukan bagi membantu memastikan Covid-19 dapat dikawal sepertimana yang pernah dilakukan terhadap wabak seperti tuberculosis, HIV/AIDS dan SARS.
Memupuk Keyakinan
Masih terdapat kebimbangan mengenai wabak Covid-19 ini dan menyebabkan sektor pelancongan domestik kurang dapat berkembang dengan pesat kerana terdapat sikap berhati-hati dan ketakutan mengenai wabak ini. Begitu juga, meskipun sudah dibenarkan makan di luar selepas mendapat suntikan dua dos, namun ramai yang masih tidak berani makan di luar dan ini menyebabkan sektor perniagaan makanan masih lagi terjejas, walaupun sektor ini sudah mulai dibuka.
Kesemua ini bermakna, walaupun pemberian vaksin sudah melepasti 80 peratus dan pemberian booster vaksin ke-3 sudah dijanjikan oleh kerajaan, selagi masyarakat masih berasa kurang yakin dan berasa was-was, maka ini memerlukan kredibiliti aspek sains sosial dan kemanusiaan untuk memulihkan keyakinan masyarakat. Aspek penyesuaian amalan dan cara hidup dalam konteks ilmu masyarakat pula diperlukan bagi mengharmonikan kehidupan masyarakat agar rakyat berasa lebih yakin untuk bergerak ke hadapan.
Apabila sudah memahami daripada perspektif yang lebih menyeluruh, menyesuaikan diri dan kemahiran, mempunyai pengetahuan asas dalam menangani tekanan, dan gaya hidup baharu lebih mudah dipopularka dan kehidupan dapat diteruskan dengan lebih baik, segar dan bersemangat.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)