KUALA LUMPUR: Icon Offshore Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Icon Ship Management Sdn Bhd, telah memeterai kerjasama strategik dengan Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDISB) membabitkan projek perintis bagi pemasangan kemudahan jarak jauh ‘CAT Remote Fleet Vision’ (RFV) di atas kapalnya yang dinamakan sebagai Zara.
RFV merupakan teknologi terkini Caterpillar yang menyalurkan data khusus untuk pelanggan bagi mengenal pasti serta menyelesaikan masalah secara pantas dan berupaya mengesan, menjejaki serta mengurus semua aset pelanggan di hujung jari tanpa mengira lokasi kapal serta jenama enjinnya.
Selain itu, Icon turut memeterai dua perjanjian tambahan berkaitan iaitu Kerangka Penetapan Harga dan Program Penyelenggaran Pengedokan Kering.
Pengarah Urusan Icon, Datuk Seri Hadian Hashim menyifatkan kerjasama strategik dengan SDISB bagi penyelenggaraan dan pengedokan kering itu sebagai satu perjalanan baharu, menerusi memperkemaskan proses dan menambah baik pelaksanaan di pihak SDISB.
Ini sekali gus, turut memperkemas kaedah bagi pengoperasian selain memperkukuh kerjasama berkenaan.
“Adalah diharapkan pemasangan RFV dapat membantu syarikat mengoptimumkan aliran maklumat serta pada akhirnya dapat mengurangkan kos.
“Sebagaimana yang anda ketahui, industri kapal bantuan luar pesisir (OSV) pada masa ini amat mencabar. Oleh kerana aliran hasil adalah tetap, aspek yang perlu kita tingkatkan adalah dari segi kos.
“Antara inisiatif yang kami bincangkan dengan SDISB, penyedia terbesar peralatan dan enjin bagi kumpulan kapal kami, adalah melihat cara mengurangkan kos dengan mempertingkat kecekapan menerusi penggunaan RFV. Ini kerana ia membolehkan mekanisme perancangan lebih baik serta pembetulan yang perlu diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Icon Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby Bhd Mustamir Mohamad.
Hadian berkata 19 daripada 24 kapal yang telah dilengkapi dengan enjin Caterpillar dan kumpulan tersebut berharap kepada SDISB dari segi komponen dan perkhidmatan penyelenggaraan tetap serta program pengedokan kering.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDISB, CK Teoh berkata, syarikat itu dan Icon telah menjalin hubungan jangka panjang selepas mengembangkan perniagaan secara bersama sejak lebih sedekad lamanya.
Menurutnya, perniagaan Icon mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruhan bahagian pasaran dan beliau yakin usaha membabitkan kedua-dua syarikat dapat membantu bagi pengembangan perniagaan.
“Bagi RFV, SDISB akan melaksanakan semua kos pemasangan yang dilaksanakan sekarang. Pada akhir enam bulan dari tarikh pentauliahan September ini, Icon mempunyai pilihan untuk menyewa RFV daripada SDISB selama 30 bulan,” katanya.
Mengulas kerangka penetapan harga itu, Hadian berkata ini penting bagi Icon kerana dapat menentukan harga dalam tempoh masa tertentu selain berfungsi sebagai mekanisme perancangan kerja di masa depan khususnya dalam persekitaran semasa.
Teoh pula berkata di bawah perjanjian itu, Icon akan menikmati harga tetap bagi tempoh kontrak serta jaminan global 12 bulan bagi semua bekalan komponen.
“Ini penting terutamanya pada masa ini apabila keadaan pasaran tidak menentu. Oleh itu, satu perjanjian penetapan harga misalnya akan dapat memberi kemudahan kepada pelanggan kerana tiadanya turun naik harga selama dua tahun,” katanya.- Bernama