KOTA KINABALU, 13 Oktober: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat tidak mahu dan enggan proses bedah siasat dijalankan ke atas anaknya walaupun sudah dimaklumkan serta dijelaskan berhubung perkara itu.
Pegawai Penyiasat InspektorWong Yew Zhung berkata beliau memaklumkan dan menjelaskan kepada Noraidah, 46, bahawa bedah siasat akan dijalankan bagi membantu siasatan kes kematian Zara Qairina ketika berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Saksi ke-83 dalam prosiding inkues kematian remaja itu menjelaskan sekali lagi kepada Noraidah berhubung proses bedah siasat, namun wanita tersebut tetap berkeras menjawab: “Tidak mahu. Saya mahu kebumikan dia (Zara Qairina) dengan segera.”
Wong berkata beberapa keping gambar juga diambil oleh jurugambar semasa perjumpaan dan lawatan ke Wad Neurosurgeri HQE untuk tujuan rekod serta dokumentasi.
“Pada ketika itu, oleh kerana ibu Zara Qairina enggan bedah siasat dijalankan dan punca kematian telah dikenal pasti, tidak ada borang POL 61, iaitu dokumen permohonan oleh polis untuk menjalankan bedah siasat dikeluarkan,” katanya ketika membaca keterangan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Wong berkata Noraidah juga menandatangani beberapa dokumen berkaitan pada 17 Julai 2025 sebelum jenazah Zara Qairina diserahkan kepada pihak keluarga untuk pengebumian.
Beliau berkata dokumen itu ialah Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat atas Kemahuan Sendiri yang memperakui tidak mahu bedah siasat dijalankan, memperakui tidak mensyaki apa-apa perbuatan jenayah atas kematian dan tidak akan menuntut sebarang laporan bedah siasat daripada pihak hospital atas tujuan medico-legal, tuntutan insurans dan lain-lain tuntutan.
Wong berkata Borang Notifikasi Kematian dan Pengendalian Jenazah sebagai akuan penerimaan jenazah dan Surat Akuan Pengesahan Pengurusan Perkhidmatan Jenazah turut ditandatangani oleh ibu Zara Qairina pada tarikh sama.
“Selepas berjumpa dengan ibu Zara Qairina, saya kembali ke pejabat untuk mengemas kini kes. Saya tiba di pejabat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 6.54 petang dan menerima arahan untuk mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai mati mengejut dan menjadi pegawai penyiasat dalam siasatan tersebut,” katanya.
Wong berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang doktor pada 1.35 tengah hari 17 Julai 2025 memaklumkan Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari dan sebab kematian pelajar itu ialah kecederaan otak trauma yang teruk dengan komplikasi hipoksia-iskemia.
Beliau dan jurugambar bertugas telah ke HQE dan tiba di hospital itu pada 3.30 petang sebelum berjumpa seorang doktor bersebelahan katil Zara Qairina dengan Noraidah turut berada di situ.
Zara Qairina meninggal dunia di HQE pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi. – Bernama




