KUCHING: Ibu bapa perlu pastikan anak-anak meneruskan tabiat membaca yang semakin kurang mendapat perhatian pada waktu sekarang.
Kurangnya minat membaca adalah disebabkan ledakan teknologi digital sekali gus menyebabkan anak-anak lebih memilih untuk menghabiskan waktu mereka bermain dengan gajet.
Ahli Dewan Undanan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, adalah lebih baik ia diselaraskan supaya perkembangan teknologi dan tabiat membaca ini memberi manfaat kepada perkembangan diri anak-anak yang sedang membesar.
“Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan satu usaha terancang dan berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membina tabiat membaca di kalangan murid sepanjang tahun.
“Ini bertujuan mewujudkan masyarakat Malaysia yang cinta kepada budaya membaca dan budaya ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran NILAM di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah Pending, baru-baru ini.
Tambahnya, dengan membaca, anak-anak dapat menambah pengetahuan dan kemahiran untuk diaplikasi dalam kehidupan mereka.
Pada majlis itu, Dr. Hazland turut menyampaikan sumbangan dana tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sumbangan kepada dua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Oleh Nur Ain Otsman