
LUNDU: Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai tunjang dalam institusi kekeluargaan serta berperanan membentuk karakter dan nilai-nilai anak-anak melalui teladan yang baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan perkara tersebut semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong hari ini.
Menurut beliau, ibu bapa perlu menunjukkan contoh positif seperti usaha, disiplin dan etika kerja agar menjadi inspirasi kepada anak-anak dalam membentuk jati diri dan sahsiah terpuji.
“Penting bagi ibu bapa mengambil inisiatif mendidik anak-anak mengenai tanggungjawab dan disiplin. Mereka juga perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara rumah dan sekolah serta terlibat aktif dalam semua aktiviti PIBG dan mesyuarat yang dianjurkan,” ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan ibu bapa secara langsung dalam pendidikan anak-anak bukan sahaja memberi motivasi kepada guru, malah meningkatkan keyakinan anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Billy turut menekankan kepentingan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru dalam memantau perkembangan anak-anak.
Jelasnya, ibu bapa tidak boleh bersikap pasif, sebaliknya perlu menjadi pemimpin proaktif dalam pendidikan anak-anak.
“Kita perlu mendidik anak-anak bahawa menjadi pemimpin bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memberi inspirasi dan sokongan kepada orang lain.
“Ibu bapa juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sebagai teladan kepada anak-anak tentang pentingnya memberi kembali kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa harapan dan matlamat ibu bapa terhadap anak-anak harus realistik serta diiringi dengan sokongan yang berterusan dalam perancangan masa depan mereka.
-UKAS