Rumah roboh dipukul ombak, Bihie Ismail rayu pembinaan semula

Facebook
WhatsApp
MUSNAH… Datuk Rosey Yunus ketika menemui Bihie Ismail pemilik rumah yang roboh dipukul ombak di Kampung Bungai hari ini. Foto: Adum Liu

BEKENU: Rumah baharu sudah siap, sedih kerana tidak dapat mendiaminya kerana telah roboh dipukul ombak besar beberapa hari yang lalu.

Demikian luahan hati Bihie Ismail, 72, merupakan seorang nelayan di Kampung Bungai di sini ketika ditemui pemberita hari ini.

Kini, beliau masih tinggal sementara di rumah anaknya yang berdekatan dengan rumah yang roboh.

Katanya, rumah yang baru siap dibina itu masih belum diserahkan hak milik kerana dikatakan tidak selamat didiami.

RUMAH ROBOH….Bihie Ismail, 72, merupakan seorang nelayan di Kampung Bungai, rumahnya telah roboh dipukul ombak besar pada beberapa hari yang lalu.

“Rumah tersebut merupakan Projek Khas Perumahan Nelayan Tahun 2024 (Bina Baru) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Agensi pelaksanaan adalah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kontraktor ialah Serumbu Sendirian Berhad,” katanya lagi.

Sehubunga itu, beliau berharap pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan membina sebuah rumah baru yang jauh dari pantai.

“Terima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus telah datang melihat keadaan yang menimpa saya hari ini,” katanya lagi.

Utusan Sarawak difahamkan bahawa tarikh pembinaan rumah bermula pada 6 Januari 2025 dan siap pada 26 Mei 2025.

Oleh Adum Liu