MAKKAH: Ibadah haji tahun ini yang pertama kali dilaksanakan dengan bilangan jemaah terhad bermula semalam.
Pihak berkuasa melaporkan hanya 1,000 jemaah dibenarkan melaksanakan ibadah itu kali ini.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan ia akan disertai oleh 10,000 jemaah terdiri daripada mereka yang tinggal di Arab Saudi.
Jumlah itu amat kecil berbanding 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia, pada tahun lalu.
“Tiada isu keselamatan mengenai haji kali ini, tetapi (mengehadkan) bilangan jemaah bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan pandemik (Covid-19),” kata pengarah keselamatan awam Arab Saudi, Khalid bin Qarar Al-Harbi.
Jemaah diminta menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika melaksanakan rukun haji.
Mereka juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di sini dan menjalani perintah kuarantin selepas selesai menunaikan ibadah haji.
Setiap jemaah juga diberikan batu yang sudah disanitasi untuk ibadah melontar batu, cecair pembasmi kuman, tikar solat dan kain ihram.
Dalam pada itu, media rasmi negara itu menunjukkan pekerja melakukan sanitiasi terhadap bagasi jemaah.
Ada juga jemaah yang diberikan gelang elektronik bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan lokasi individu berkenaan.
Pekerja pembersihan juga membersihkan kawasan di sekitar Kaabah.
Bagaimanapun, pada tahun ini, pihak berkuasa sudah menutup kawasan berdekatan dengan Kaabah.
Jemaah tidak akan dibenarkan menyentuhnya bagi mengelak risiko penularan Covid-19.
Selain itu, klinik bergerak dan ambulans sudah bersiapsiaga untuk sebarang kecemasan.
Pada tahun ini juga, tiada media antarabangsa yang dibenarkan membuat liputan.
Setakat semalam, Araba Saudi sudah merekodkan lebih 270,000 kes Covid-19 dengan 2,789 kematian. – AFP