
KUCHING: Liga Futsal Progresif 2025 melabuhkan tirai dengan i-CATS UC muncul juara selepas menewaskan Kesaka FT 1-0 dalam aksi penutup di Kompleks Sukan Satok, malam tadi.
Gol tunggal perlawanan cukup untuk mengesahkan kejuaraan i-CATS UC dengan kelebihan tiga mata, sekali gus menafikan cabaran rapat UNITAR Kuching yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 50 mata.
Pasukan tuan rumah, Cyberjaya College Kuching, turut menampilkan aksi konsisten sepanjang musim apabila menutup kempen di tangga ketiga dengan 47 mata.
Menurut kenyataan media Kelab Bola Sepak AZAM Sarawak, Kejohanan anjurannya bersama Cyberjaya College Kuching itu berlangsung sejak Jun lalu dengan penyertaan 11 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh Sarawak termasuk SEGi College, UNITAR, Technology College Sarawak (TCS) dan i-CATS UC.
Lebih daripada sekadar saingan, liga ini turut dijadikan platform penting untuk memupuk kerjasama berpasukan, mengamalkan gaya hidup sihat serta mengetengahkan bakat futsal dalam kalangan belia IPTS.
Ahli Lembaga Pengarah AZAM Sarawak, Donald Nohed, dalam kenyataan sama berkata kejohanan itu membuktikan peranan besar golongan belia dalam membina masa depan negeri.
“Liga Futsal Progresif bukan sahaja mengangkat bakat sukan, malah memperkukuh nilai kepimpinan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan anak muda. AZAM melalui inisiatif AZAM Young Souls (AYS) komited mengetengahkan potensi belia agar mereka progresif, berdaya saing dan mampu menjadi ejen perubahan,” jelasnya.
Koordinator Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar Cyberjaya College Kuching, Cik Elaine yang mewakili Ketua Eksekutif, Puan Doreen Tan, pula melihat kejohanan ini sebagai medan persediaan berharga buat pelajar.
“Lebih membanggakan, kejohanan ini juga menjadi medan pemanas badan buat pelajar kita menjelang SUKIPT 2025 dan MASISWA 2025. Pengalaman yang diperoleh di sini akan jadi bekalan penting,” katanya.
Selain kejuaraan pasukan, kejohanan turut mengiktiraf bakat individu. Robinson Juni (UNITAR) dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, Nazirul Affia Denny (Cyberjaya FT) meraih gelaran Penjaring Terbanyak dengan 14 gol, manakala Muhammad Irfan Abdullah (i-CATS UC) diumumkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan.
Majlis penutupan berlangsung meriah dengan penyampaian trofi, pingat, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai kepada pasukan pemenang.
Dengan kejayaan edisi kali ini, AZAM Sarawak merancang untuk menaik taraf Liga Futsal Progresif 2026 dengan penglibatan lebih banyak pasukan, termasuk kemungkinan jemputan dari IPTA dan luar Sarawak, sekali gus memperluas jaringan IPTS melalui sukan.
Liga Futsal Progresif 2025 sekali lagi membuktikan bahawa futsal bukan sekadar persaingan, tetapi medan membina generasi muda yang sihat, bersatu dan progresif.
Oleh Shahrul Qaizat