
SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berumur 85 tahun menerima sumbangan katil pesakit boleh laras dari Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Jurucakap Pusat Khidmat Repok berkata, penerima sumbangan tersebut ialah Wong Kee Lok.
“Kee Lok terlantar sakit di rumahnya di Sungai Sebanyak dan memerlukan penjagaan rapi keluarganya.
“Dia juga memerlukan katil pesakit boleh laras untuk membolehkannya berehat dengan lebih selesa di rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, sumbangan katil boleh laras dihantar dan diserahkan kepada Kee Lok oleh kakitangan Pusat Khidmat Repok.
“Ahli keluarga Kee Lok turut mengucapkan kepada Ahli Parlimen Sarikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii di atas sumbangan tersebut.
“Katil pesakit boleh laras sentiasa disumbangkan oleh beliau kepada mereka yang memerlukannya tanpa mengira kaum dan agama.
“Beliau juga amat memahami keperluan dan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya.
Oleh Earl Anek