KUCHING: Sebuah kereta jenis Honda Accord terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian di Jalan Desa Wira, Batu Kawa, di sini, malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.09 malam.
“Setibanya di lokasi pada 9.20 malam, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Honda Accord terbakar kira-kira 70 peratus.

“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan kebakaran berjaya dikawal pada 9.25 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api atau bara yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan operasi ditamatkan pada 10.00 malam.




