KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) telah memperluaskan bantuan kepada SURI, sebuah perusahaan sosial yang mengitar semula kain denim yang sekarang ini mula mengeluarkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang sesuai kepada petugas barisan hadapan di hospital Klang.
SURI merupakan bekas penerima bantuan HLB Jumpstart, platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu yang dibentuk bagi membantu perusahaan sosial Malaysia membina perniagaan jangka panjang dengan perkongsian pengetahuan kewangan, alatan, pendigitalan operasi, penjenamaan, pemasaran dan lain-lain lagi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Domenic Fuda berkata, memandangkan sekarang ini merupakan tempoh yang sukar, kedua-dua perniagaan dan individu terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan.
“Perusahaan sosial seperti SURI, yang mana model perniagaan mereka berteraskan kepada misi sosial yang memberi kembali kepada masyarakat dan menjana peluang pendapatan untuk golongan pendapatan di bawah 40 peratus (B40) telah menerima kesan kerana perolehan sosial daripada syarikat-syarikat korporat telah terhenti.
“Sebagai sebuah bank komuniti, kami lihat membantu SURI dengan pemberian subsidi ke atas kos buruh mereka merupakan satu peluang besar untuk memperkukuhkan komuniti yang amat memerlukan dalam masa yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Bank itu akan mensubsidi kos buruh SURI bagi membolehkannya untuk terus menjana pendapatan yang mampan bagi benefisiari mereka, yang terdiri daripada ibu tunggal yang kurang bernasib baik.
Seperti banyak perusahaan kecil dan perusahaan sosial yang lain, SURI juga telah terjejas teruk oleh krisis Covid-19.
“Malahan, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, SURI tidak lagi menerima sebarang pesanan baharu untuk produk denim mereka dan ini telah menjejaskan aliran pendapatan ibu-ibu tunggal ini.
“Dalam usaha bagi terus menyediakan kehidupan yang mampan untuk mereka, SURI telah menyesuaikan kebolehan jahitan mereka untuk menghasilkan PPE kepada petugas barisan hadapan perubatan,” katanya.
Sementara itu, menurut SURI, ia merancang untuk menghasilkan 600 keping gaun, 800 keping penutup kepala 800 pasang but. Subsidi kos buruh yang disediakan HLB akan membenarkan SURI menambah kakitangan daripada tiga kepada 10 ibu tunggal yang akan membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran sut PPE, memandangkan keperluan PPE di hospital di seluruh negara amat terdesak. – Bernama