KUALA LUMPUR: Generasi enjin berkembar Airbus terkini H160 telah dianugerahkan pengiktirafan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), sekali gus membuka laluan bagi kemasukan rotorkraf ke pasaran Malaysia.
Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia Axel de Pascal berkata, pengiktirafan ini adalah tepat pada masanya yang membuktikan keyakinan negara ini terhadap penawaran terbaharu yang akan menguasai ruang angkasa Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Pencapaian ini mempamerkan sepenuhnya jalinan usaha sama kukuh antara Airbus dan CAAM dalam memastikan pelaksanaan penilaian menyeluruh yang mematuhi piawaian keselamatan tertinggi. Kami teruja untuk menyaksikan H160 menyokong misi kritikal di negara ini tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Airbus pengiktirafan ini diterima selepas pengeluar pesawat ini menerima pensijilan daripada Penerbangan Awam Pengangkutan Kanada bagi model berkenaan.
H160 juga telah diiktiraf oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat dan Biro Penerbangan Awam Jepun.
Helikopter itu adalah helikopter berinovasi kelas sederhana yang telah menetapkan standard baharu dari segi aspek keselamatan, keselesaan dan prestasi alam sekitar.
Ia menampilkan teknologi paling canggih, merangkumi bilah rotor Blue Edge yang mengurangkan kehingaran, bilah ekor rotor berlengan Fenestron yang memberikan penguasaan beban lebih baik dan suite avionik Helionox untuk mengurangkan beban kerja juruterbang.
“Melalui pengurangan pengunaan bahan api sebanyak 15 peratus dan pengurangan penghamburan bunyi sebanyak 50 peratus, H160 membolehkan pelanggan untuk mengorak langkah lebih besar ke arah mengurangkan jejak alam sekitar.
“H160 kini mempunyai pelanggan untuk semua segmen misi dan telah direka bentuk untuk menangani tenaga, penerbangan peribadi dan perniagaan, perkhidmatan perubatan kecemasan, misi mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraan.
Airbus berkata di peringkat global, kumpulan helikopter H160 telah merekodkan sejumlah lebih daripada 2,800 jam penerbangan. – Bernama