HDC perjelas dasar, pengurusan PPR Bandaria Park kepada penduduk

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI HDC, Abdul Yakub Arbi sedang menyampaikan ucapan pada Sesi Penerangan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bersama wakil penduduk PPR Sewa Bandaria Park di NU Hotel Bintulu, pagi tadi.

BINTULU: Sesi Penerangan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bersama wakil penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sewa Bandaria Park menjadi platform bagi memberi penjelasan mengenai pengurusan penyewaan, kriteria kelayakan serta dasar terkini PPR kepada komuniti setempat.

Program yang berlangsung di Hotel Nu Bintulu pagi tadi itu menghimpunkan wakil penduduk PPR Bandaria Park bersama pihak pengurusan HDC bagi membincangkan hak dan tanggungjawab penyewa, selain usaha menambah baik pengurusan perumahan rakyat.

Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi berkata, sesi berkenaan diadakan bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada penduduk mengenai penyewaan PPR Bandaria Park.

“Sesi ini diadakan sebagai platform untuk memberi penjelasan mengenai penyewaan PPR Bandaria Park, termasuk syarat penyewaan, hak dan tanggungjawab penyewa serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, sesi tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi medium untuk menjawab persoalan dan memastikan penyewa memperoleh maklumat yang tepat berkaitan pengurusan PPR.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), Fathi Hambali sedang menerangkan kriteria dan polisi terkini PPR Bandaria Park pada Sesi Penerangan HDC bersama wakil penduduk di Hotel NU Bintulu, pagi tadi.

Menurutnya, PPR bukan sekadar menyediakan kediaman, malah membentuk sebuah komuniti yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan persekitarannya sentiasa bersih, selamat, teratur dan harmoni.

Beliau turut mengingatkan penyewa supaya mematuhi syarat perjanjian sewa, menjaga kemudahan bersama serta memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan dalam urusan penyelenggaraan dan pengurusan PPR.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Fathi Hambali, menerangkan kriteria kelayakan dan polisi terkini berkaitan PPR Bandaria Park kepada wakil penduduk yang hadir.

Penerangan tersebut bertujuan memberi pemahaman yang lebih jelas kepada penduduk mengenai garis panduan, syarat kelayakan serta aspek pengurusan PPR bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lebih teratur.

Menurut beliau, pemahaman yang jelas mengenai polisi sedia ada dapat membantu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyewa, selain memastikan hubungan antara pihak pengurusan dengan penduduk sentiasa berada dalam keadaan baik.

RAKAM kenangan…Sesi Penerangan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bersama wakil penduduk PPR Sewa Bandaria Park yang berlangsung di Hotel NU Bintulu, pagi tadi.

“Kerjasama daripada semua penghuni amat penting kerana pengurusan PPR bukan sahaja melibatkan HDC, malah memerlukan penglibatan aktif penduduk bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, selamat dan kondusif,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa HDC sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada penduduk bagi mengenal pasti isu yang perlu diberi perhatian serta mencari penyelesaian secara bersama.

“Sebarang permasalahan yang timbul perlu disalurkan melalui saluran yang betul supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan kebajikan penghuni sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yakub berkata, HDC sentiasa komited memastikan pengurusan PPR dilaksanakan dengan sebaik mungkin, termasuk memberi perhatian terhadap aduan penduduk, menangani isu penyelenggaraan secara berperingkat serta menambah baik kemudahan dari semasa ke semasa.

Beliau turut menyeru semua penghuni supaya memainkan peranan dalam menjaga kebersihan, keselamatan dan keharmonian komuniti kerana kejayaan pengurusan PPR bergantung pada kerjasama antara penduduk dengan pihak pengurusan.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Edward Geranja Ellie, Ketua Unit Perancangan dan Dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) Hamidah Andong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Jamilah Bujang, ahli jawatankuasa HDC serta wakil penduduk PPR Bandaria Park.

Oleh Faizah Muzidi