LIVERPOOL: Luis Diaz menjaringkan hatrik untuk Liverpool ketika mereka mengekalkan rekod sempurna dalam kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-0 ke atas Bayer Leverkusen yang dibimbing Xabi Alonso di Anfield, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Arne Slot yang kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL), juga mengetuai kedudukan dalam kejohanan elit kelab Eropah itu dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan.
Aston Villa, satu-satunya pasukan lain yang mempunyai rekod 100 peratus, akan bermain menentang Club Brugge dalam perlawanan keempat, awal pagi esok.
Kekalahan Leverkusen menjejaskan kepulangan Alonso, bekas pemain kesayangan Liverpool yang memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama The Reds pada 2005 dan pernah menjadi calon utama untuk menggantikan bekas pengurus, Jurgen Klopp.
Slot bagaimanapun membuktikan dirinya sebagai pengganti yang berwibawa apabila membantu pasukan mencatatkan kemenangan ke-14 dalam 16 perlawanan.
Diaz memecahkan kebuntuan pada perlawanan yang agak perlahan itu di minit ke-61 apabila melambungkan bola menewaskan penjaga gol lawan, Lukas Hradecky.
Cody Gakpo menggandakan kedudukan Liverpool dua minit kemudian apabila dia menyambut hantaran silang Mohamed Salah sebelum menanduk masuk ke gawang lawan.
Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi disahkan semula oleh video bantuan pengadil (VAR).
Diaz menjaringkan gol keduanya pada minit ke-83 apabila menyambut hantaran silang dari Salah dan kemudian menewaskan Hradecky sebelum melengkapkan hatriknya menerusi sentuhan jarak dekat pada masa kecederaan.
“Empat kosong, keputusan yang baik menentang pasukan yang sangat bagus, saya tak pasti jika ini keputusan terbaik (musim ini), tapi ia satu kemenangan yang baik,” kata Gakpo kepada Amazon Prime.
Kedua-dua pasukan kurang berkesan di bahagian serangan pada separuh masa pertama yang hambar.
Alonso, 42, pernah bermain 210 perlawanan untuk Liverpool dalam tempoh lima tahun bermula 2004 dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang melakukan kebangkitan luar biasa dalam kemenangan final Liga Juara-Juara ke atas AC Milan di Istanbul.