
SIBU: Hata Kiprawi dinobatkan sebagai johan qari, manakala Fatimah Puteh muncul sebagai johan qariah pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Zon 1 Bahagian Sibu 1447H/2025M di Masjid Darul Istiqamah, Sukun, baru-baru ini.
Naib johan qari pula disandang oleh Muhammad Rasidin Abu Bakar dan Fadlee Johnie di tempat ketiga.
Sementara itu, ditempat yang kedua qariah ialah Saripah Salwa Said Alang Ghafar dan Habsah Razak di tempat ketiga.

Majlis penutupan disempurnakan oleh tetamu jemputan Ustazah Rafeah Buang, Pegawai Agama Islam Bahagian Sibu yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu.
Seramai 11 peserta bertanding pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Zon 1 Bahagian Sibu 1447H/2025 yang terdiri daripada lima qari dan enam qariah.
Majlis tersebut bertujuan menggesa masyarakat Islam terus menghayati dan mendalami isi kandungan al-Quran.

Pada masa yang sama, menekankan pentingnya al-Quran sebagai panduan hidup agar masyarakat Islam terus menghayati dan memperkukuh budaya membaca serta memahami isi kandungan kitab suci tersebut dalam kehidupan harian mereka.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Masjid Darul Istiqamah, Mohamed Ali Raya, bersama ahli jawatankuasa masjid, pegawai-pegawai jabatan agama, imam-imam, serta penduduk setempat yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara tahunan ini.
Oleh Raihan Omera Kausar