LUNDU: Penduduk Kampung Stunggang Melayu Baru di sini menarik nafas lega kerana hasrat memiliki sebuah dewan komuniti yang baharu tercapai dan telah siap dibina sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, para penduduk perlu memanfaatkan sepenuhnya apa juga sumbangan kemudahan dan bantuan daripada kerajaan.
”Dengan siapnya dewan ini, kita harus berterima kasih kepada bekas ADUN Tanjong Datu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu kerana telah meluluskan pembinaan dewan ini pada 2019.
”Bagaimanapun, terdapat kekangan untuk siap bila seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 dan hanya disambung lagi selepas itu dan siap sepenuhnya pada pertengahan 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri majlis perasmian Dewan Kampung Stunggang Melayu Baru Lundu di sini, semalam.
Ujarnya, meskipun dewan itu tidak cukup besar kerana tapak yang terhad, beliau akan berusaha membina dewan baharu yang lebih besar di tapak yang lebih besar apabila Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah dijalankan.
Majlis itu juga menyaksikan Azizul dan penduduk kampung itu meraikan sambutan ambang Hari Kebangsaan yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti.
Menurutnya juga, Kampung Stunggang Melayu Baru juga bakal mendapat akses baharu apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju dan meluluskan peruntukan sebanyak RM 7 juta untuk membina jalan baharu di bawah Jambatan Batang Kayan untuk terus ke kampung berhampiran.
Jelasnya, projek ini akan memudahkan laluan penduduk yang hendak ke masjid di Kampung Stunggang Melayu Lama dan juga murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Stunggang Melayu Baru.