
KUCHING: Hasrat seorang ibu tunggal dan anak perempuannya untuk membeli barangan persiapan Aidilfitri bertukar menjadi detik cemas apabila mereka menjadi mangsa langgar lari di Bulatan Asrama Sakura, Tabuan Jaya, sekitar 2.00 petang tadi.
Menurut saksi, penunggang motosikal bersama anaknya telah memberi isyarat untuk membelok ke kanan di bulatan. Namun, sebuah Perodua Alza berwarna ungu gelap tiba-tiba meluru dari belakang, membelok mengejut ke kiri, lalu mencantas dan melanggar motosikal mereka.
“Hanya nampak sekilas pandang kereta yang melanggar tersebut bernombor plat Q4202, kalau tak silap.
“Tak sempat ambil gambar atau tengok jelas sebab pemandu kenderaan terbabit tidak berhenti dan terus memecut meninggalkan tempat kejadian tanpa rasa bersalah.
“Kedua-dua mangsa tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kaki yang menyebabkan salah seorang mangsa tidak dapat berjalan kerana kaki kanannya sakit,” katanya dalam perbualan di kumpulan sembang keluarga dalam aplikasi WhatsApp.
Tambahnya, orang awam yang berada di lokasi kejadian segera bertindak pantas membantu kedua-dua mangsa dan membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Keadaan motosikal yang dinaiki dua beranak itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.
“Sehingga kini, pemandu terbabit masih belum dikenalpasti dan insiden ini bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal tetapi juga emosi, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di saat keluarga kecil ini sedang membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
“Sepatutnya menjadi momen kegembiraan bertukar menjadi pengalaman pahit akibat kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang melanggar mereka,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah