KUCHING- Semua hasil penyelidikan yang dibentangkan sempena Webinar Penyelidikan Siri 4.0 akan diterbitkan dalam Bulletin Sarawakensis 3, kata Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Jack Liam.
Hasil kajian yang telah diperolehi semasa Ekspedisi Kelingkang 2019 dan hasil kajian yang telah diperolehi sepanjang tahun 2019 hingga 2020 itu telah dibentangkan pada majlis perasmian webinar, semalam.
“Sarawak yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan unik menyebabkan hutan Sarawak berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan sosio-ekonomi penduduk setempat,” kata beliau pada Majlis Perasmian Webinar Penyelidikan Siri 4.0 yang diadakan di Galeri RDID di Kuching dan Aplikasi Zoom semalam.
Menurut beliau lagi, pihaknya berbangga kerana koleksi rujukan yang ada membantu dalam kerja-kerja pengurusan dan konversi hutan seperti membantu mengenalpasti spesies yang jarang dan terancam.
“Herbarium Sarawak di Jabatan Hutan Sarawak telah menjadi rujukan utama untuk tumbuhan hutan di Sarawak sekaligus menjadi pusat rujukan bagi tumbuhan hutan hujan tropika bagi institut penyelidikan dari luar negara,” ujar beliau.
“Dalam menjalankan penyelidikan di Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan hutan simpan kekal (PFE), pihak RDID telah memainkan peranan yang penting dengan mengumpul data-data mengenai pelbagai spesies flora dan fauna, ekologi, ekosistem dan persekitaran hutan.
Tambahnya lagi, koleksi rujukan yang terdapat di RDID merupakan aset yang sangat berharga bagi Kerajaan Sarawak.
Mengenai objektif seminar, beliau berkata ia adalah untuk melatih dan mendedahkan kakitangan penyelidikan untuk berkomunikasi melalui pembentangan hasil penyelidikan.
“Hal ini kerana hasil kajian yang telah dibuat di RDID telah banyak digunakan dalam menyokong pelbagai kerja pengurusan hutan berkekalan”, katanya.
Sehubungan itu, semua maklumat saintifik tersebut akan digunakan oleh pihak yang berkepentingan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengurusan hutan pada masa akan datang.
“Harapan saya agar usaha penyelidikan ini akan diteruskan dengan lebih bersepadu bagi terus menyokong semua kerja pengurusan dan pemuliharaan hutan serta semua kerja penguatkuasaan hutan”, kata beliau.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ