
MELAKA: Kebun tepi rumah yang diusahakan Mohd Khaironnie Ng Mohd Raisman Ng bukan sahaja memberikan manfaat kepada keluarganya bahkan lebihan hasil turut dikongsi bersama komuniti setempat.
Pekerja swasta yang menetap di Kampung Bukit Durian, Ayer Molek itu berkata kebun sayur itu diusahakan di tanah seluas kira-kira 30 meter persegi sejak 10 tahun lepas.
“Ia bermula sebagai minat dan hobi pada waktu lapang, dengan tujuan utama untuk memberikan pendedahan kepada empat anak saya berusia 7 hingga 15 tahun untuk mengenal spesies tumbuhan dan serangga yang berada di kebun.

“Bagaimanapun, kebun berkenaan mula dibesarkan sedikit demi sedikit, dan saya kini mempunyai kira-kira 1,200 lubang hidroponik di tanah dengan pelbagai sayur berdaun, dan mampu menghasilkan antara 100 hingga 300 kilogram sayur yang dituai sebulan sekali,” katanya kepada Bernama, di sini.
Mohd Khaironnie, 41, berkata selain tanaman pelbagai sayur secara hidroponik seperti pak choi, kangkung, sawi hijau, salad dan lain-lain, dia turut menanam pokok terung, bendi dan jagung di atas tanah dengan menggunakan 150 tayar terpakai sebagai pasu.
“Seboleh-bolehnya, saya cuba menggunakan kaedah tanaman organik dengan kawalan serangga menggunakan cuka kayu, selain turut menanam pokok bunga bagi menarik kehadiran serangga pemangsa yang akan memakan makhluk perosak,” katanya.
Dia turut menternak kira-kira 50 ekor ayam penelur jenis Lohmann Brown, yang mampu menghasilkan antara 40 hingga 50 biji telur setiap hari, selain 50 ekor ayam kampung untuk mendapatkan daging segar.

“Bagi mengelakkan reban ayam berbau, saya menggunakan sekam padi dan ditukar setiap dua bulan sekali, dan sekam padi berkenaan dapat dijadikan baja kompos untuk kegunaan sebagai baja bagi tanaman yang ditanam di dalam pasu tayar.
“Lebihan hasil seperti sayur berdaun yang dapat dituai dalam tempoh sebulan itu akan dijual kepada penduduk kampung setempat dengan harga antara RM3 hingga RM5 satu pek ataupun kombo empat jenis sayur berharga RM10.
“Telur segar yang dihasilkan ayam penelur dengan gred A dan B pula dijual mengikut harga pasaran. Hasil jualan ini digunakan untuk menanam kembali sayur-sayuran dan membeli dedak ayam,” katanya.
Hasil perkongsian yang dibuat di laman sosial membuka mata banyak pihak untuk bercucuk tanam, dan menternak ayam sebagai usaha mereka untuk mendapatkan bekalan segar selain mengurangkan kos sara hidup, sekali gus menjamin keselamatan makanan komuniti setempat.
“Hasil perkongsian dalam media sosial, ramai yang datang melawat kebun saya ini dan saya juga mengadakan kelas kepada sesiapa yang berminat untuk belajar bertani dan menternak secara kecil-kecilan di kawasan rumah hasil pengalaman saya menguruskan aktiviti ini sejak 2016,” katanya. – Bernama