SARATOK: Tarikh 22 Julai bukan sahaja menjadi detik bersejarah dan penuh bermakna buat seluruh warga Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak, malah ia turut mencatatkan lembaran baharu yang amat dinantikan oleh penduduk di Rumah Panjang Mujah, Lubok Nibong.
Penantian bertahun-tahun penduduk kawasan berkenaan akhirnya berakhir apabila projek menaik taraf sistem bekalan elektrik di rumah panjang mereka mula menunjukkan perkembangan positif.
Langkah awal pelaksanaan projek tersebut dimulakan dengan lawatan serta siasatan tapak secara rasmi oleh pihak kontraktor berlesen (ATT) bagi menilai keperluan teknikal di lokasi berkenaan.
Fokus utama lawatan kerja tersebut adalah untuk merancang kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian dalaman serta pendawaian elektrik utama di keseluruhan rumah panjang tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, turut mengambil kesempatan untuk turun padang dan bertemu sendiri dengan para penduduk tempatan semasa lawatan tersebut berlangsung.

Beliau juga mempengerusikan satu sesi dialog khas bersama warga rumah panjang bagi membincangkan secara terperinci pelaksanaan kerja naik taraf pendawaian dalaman dan kerja-kerja berkaitan.
Menurut Mohamad Duri, tindakan pantas ini diambil susulan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Tuai Rumah Mujah demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di bawah jagaannya.
Beliau menjelaskan bahawa sistem pendawaian dalaman di Rumah Panjang Mujah yang sudah berusia hampir 20 tahun kini tidak lagi mampu menampung beban elektrik semasa.
“Keadaan struktur pendawaian yang lama itu amat memerlukan penggantian baharu memandangkan penggunaan barangan serta peralatan elektrik dalam kalangan penduduk semakin bertambah dari semasa ke semasa.
“Pelaksanaan kerja naik taraf ini disifatkan amat kritikal dan perlu disegerakan bagi mengelakkan risiko berlakunya kejadian lebihan beban serta litar pintas yang boleh mengundang bahaya kebakaran,” katanya.
Melalui sesi dialog yang diadakan, pihak berkaitan dapat memberikan penerangan yang jelas mengenai proses teknikal naik taraf tersebut, sekali gus berjaya merungkai pelbagai kemusykilan serta keraguan dalam kalangan penduduk.
Mohamad Duri turut menzahirkan harapan agar kerjasama erat dapat dijalinkan antara penduduk Rumah Panjang Mujah, pihak kontraktor ATT, dan Sarawak Energy Berhad (SEB) demi memastikan projek ini berjalan lancar serta mencapai objektifnya.
Oleh Adi Safarman





