
KUALA LUMPUR: Harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel tidak berubah bagi tempoh 11 Jun hingga 17 Jun 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit RON97 kekal RM4.35 seliter, manakala RON95 dan diesel bagi pasaran Semenanjung Malaysia masing-masing RM3.72 seliter serta RM4.67 seliter.
Menurut MOF, harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu, selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bagi harga petroleum bersubsidi pula, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah, iaitu RM2.15 seliter.
Dalam tempoh sama, Kerajaan MADANI mengekalkan harga petroleum bersubsidi bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.
Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, penggunaan 200 liter RON95 pada harga tanpa subsidi RM3.72 seliter menelan kos RM744, namun penerima BUDI95 hanya membayar RM398 bagi penggunaan sama menerusi harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus menikmati penjimatan sebanyak RM346 sebulan.
“Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula adalah lebih dua kali ganda daripada harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan walaupun pasaran petroleum global telah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.
Menurut MOF, bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi menerusi perancangan yang disusun bagi memastikan kelangsungannya, selain Kerajaan MADANI terus memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang serta subsidi bersasar di sebalik krisis bekalan global yang masih berlarutan.
“Pendekatan bersubsidi bersasar ini membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar,” menurut MOF. Sehubungan dengan itu, Kerajaan MADANI menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih cekap dan berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran, selaras dengan usaha memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global. – Bernama