Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 5 sen mulai esok

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 5 sen seliter bagi tempoh 3 hingga 9 September 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan RON97 ditetapkan pada RM4.25 seliter berbanding RM4.30 seliter sebelum ini manakala RON95 turun kepada RM3.77 berbanding RM3.82 dan diesel tanpa subsidi kepada RM4.67 daripada RM4.72.

MOF memaklumkan penurunan itu mencerminkan harga minyak mentah dunia yang diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) meskipun harga meningkat semula pada penghujung tempoh berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Walaupun harga minyak mentah Brent menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan dan sekatan eksport bahan api,” katanya.

Menurut MOF, faktor berkenaan dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, China mula melonggarkan sekatan eksport produk petroleum bertapis yang diperkenal sejak Mac 2026 namun bekalan beberapa produk petroleum ke pasaran serantau masih belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum konflik walaupun eksport meningkat mulai Julai.

MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Menerusi BUDI95, penerima yang layak terus membayar RM1.99 seliter bagi RON95, dengan kerajaan menanggung subsidi RM1.78 seliter atau 47 peratus daripada harga tanpa subsidi RM3.77.

Bagi BUDI Diesel pula, penerima membayar RM2.10 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.57 seliter atau 55 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.67.

Sementara itu, harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

MOF turut memaklumkan had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter mulai 1 Sept lepas manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan hingga 400 liter sebulan. – Bernama