
KUALA LUMPUR: Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal disokong pada RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat, didorong ekonomi biodiesel yang lebih kukuh, harga minyak mentah lebih tinggi dan kemungkinan berlaku fenomena El Nino.
MPOC menjelaskan bagaimanapun, kenaikan seterusnya dijangka dikekang susulan permintaan eksport yang suram ekoran inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di negara pengimport utama.
Selain itu, kenaikan harga MSM turut dihadkan berikutan peningkatan stok memandangkan pengeluaran minyak sawit secara beransur-ansur memasuki musim puncak, jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MPOC, sejak konflik Asia Barat tercetus pada 27 Februari lepas, harga minyak sayuran menunjukkan prestasi tidak sekata, dengan minyak sawit dan minyak kacang soya Amerika Syarikat meningkat antara 15 hingga 16 peratus menjelang pertengahan April.
Minyak bunga matahari, minyak biji sesawi dan minyak kacang soya Argentina pula hanya mencatatkan kenaikan kecil antara dua hingga lima peratus, tambahnya.
Minyak sawit dan minyak kacang soya AS menjadi penerima manfaat utama daripada dasar biodiesel serta permintaan yang tertangguh, disokong oleh harga tenaga yang tinggi, tambahnya.
“Dianggarkan antara 1.0 hingga 1.5 juta tan minyak sawit di Asia Tenggara akan diserap oleh permintaan domestik yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026.
“Malaysia memerlukan tambahan kira-kira 300,000 tan setahun di bawah mandat biodiesel B15, manakala Indonesia memerlukan tambahan sekitar 3.0 juta tan setahun bagi memenuhi mandat B50 jika dilaksanakan sepenuhnya, walaupun pengeluar biodiesel mungkin kekal pada B40 bergantung kepada kesediaan kapasiti,” tambah MPOC.
Mengenai El Nino, majlis itu menyatakan terdapat risiko fenomena iklim semula jadi yang akan berlaku, yang boleh memberi sokongan tambahan kepada harga MSM.
“Malaysia telah mengalami pengurangan hujan sejak pertengahan Mac, dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini dijangka berterusan sehingga Jun tahun ini,” jelasnya.
Stok minyak sawit Malaysia berkurangan 16.1 peratus kepada 2.26 juta tan pada Mac, apabila eksport melonjak kepada 1.55 juta tan berbanding pengeluaran sebanyak 1.37 juta tan.
Menurut MPOC, prestasi eksport yang kukuh dipacu oleh pembelian awal sebelum kos penghantaran meningkat, selain eksport Indonesia yang suram susulan lonjakan penghantaran sebelum Mac bagi mengelakkan levi yang lebih tinggi.
“Walaupun menghadapi cabaran global, eksport pada suku pertama 2026 meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun, dengan penghantaran meningkat bagi semua rantau kecuali Amerika.
“Afrika Utara mencatat pertumbuhan tertinggi pada 94 peratus, diikuti Asia Selatan (74 peratus), Eropah dan Asia Tengah (47 peratus), Asia Pasifik (24 peratus) serta Afrika Sub-Sahara (20 peratus),” menurutnya. – Bernama