
TOKYO: Harga minyak merosot lebih empat peratus pada Isnin, manakala pasaran saham Asia melonjak dalam dagangan awal susulan pengumuman Amerika Syarikat dan Iran bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Pada 0045 GMT, penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate, susut 4.70 peratus kepada AS$80.89 setong, manakala minyak mentah Brent Laut Utara jatuh 4.03 peratus kepada AS$83.81 setong.
Sementara itu, indeks Nikkei 225 Jepun melonjak 4.99 peratus, manakala indeks Kospi Korea Selatan meningkat 5.54 peratus.
Perkembangan tersebut menyusul selepas negara pengantara, Pakistan, memaklumkan bahawa Amerika Syarikat dan Iran bersetuju mencapai perjanjian damai serta menamatkan operasi ketenteraan “serta-merta dan kekal” di semua medan, termasuk Lubnan.
“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini dimuktamadkan,” kata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam kenyataan pada Ahad.
Trump turut mengumumkan bahawa Selat Hormuz yang strategik laluan maritim penting yang menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dunia akan dibuka semula.
“Saya dengan ini meluluskan pembukaan penuh tanpa tol Selat Hormuz, dan pada masa yang sama meluluskan penarikan segera sekatan Tentera Laut Amerika Syarikat. Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” katanya.
Tidak lama selepas itu, Iran menyatakan bahawa perjanjian baharu dengan Amerika Syarikat itu menandakan “penamatan serta-merta” perang antara kedua-dua negara.
“Ini merupakan perjanjian peringkat pertama, bukan penyelesaian damai muktamad,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
Beliau berkata pasaran kini akan menilai pengesahan lanjut, termasuk pemeteraian rasmi di Switzerland, pelucutan periuk api serta pendirian Israel.
“Ini ialah rangka kerja gencatan senjata yang boleh didagangkan, yang menangguhkan isu-isu sukar ke kemudian hari, termasuk pematuhan Iran dan ketenangan Hezbollah.” – AFP